
MARYLAND, 1 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau semakin hilang keyakinan terhadap rundingan dengan Iran, sambil menuduh Tehran kerap memungkiri janji dan memberikan maklumat yang mengelirukan.
- Trump dakwa keupayaan peluru berpandu dan pengeluaran dron Iran semakin merosot walaupun masih memiliki sebahagian aset ketenteraan.
- Setiausaha Perbendaharaan berkata AS mengesan aset Iran di seluruh dunia untuk manfaat rakyat Iran dan pampasan rakyat Amerika.
- Trump tetap percaya perjanjian boleh dicapai untuk menamatkan konflik walaupun keyakinannya terhadap Tehran semakin terhakis.
Menurut Trump, Iran kini berada dalam keadaan yang semakin lemah selepas beberapa bulan berdepan serangan ketenteraan dan tekanan ekonomi.
Beliau mendakwa keupayaan peluru berpandu serta pengeluaran dron Iran semakin merosot, walaupun negara itu masih memiliki sebahagian aset ketenteraan.
“Kami akan terus memberi tekanan yang sangat kuat sehingga pada satu ketika mereka akan berkata, ‘kami tidak mampu bertahan lagi’,” katanya ketika mesyuarat Kabinet di pusat peranginan presiden Camp David, Maryland.
Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, Washington sedang mengesan aset milik Iran di seluruh dunia.
Menurut beliau, aset yang berjaya dikenal pasti akan digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat Iran serta membayar pampasan kepada rakyat Amerika yang terjejas akibat tindakan Tehran dalam beberapa insiden sebelum ini.
Bessent turut mendakwa tekanan ekonomi yang dikenakan sejak Mac 2025 menyebabkan bank terbesar Iran runtuh pada Disember tahun sama, memaksa bank pusat negara itu mencetak lebih banyak wang sehingga mencetuskan inflasi yang didakwanya mencecah 180 peratus.
Dalam pada itu, Trump berkata, meskipun rundingan dengan Iran masih diteruskan membabitkan beberapa pegawai kanan pentadbirannya, beliau semakin ragu-ragu terhadap kesediaan Tehran untuk mencapai persetujuan.
Bagaimanapun, beliau tetap percaya satu perjanjian bagi menamatkan konflik masih boleh dicapai, walaupun mengakui keyakinannya terhadap Iran semakin terhakis.- REUTERS