Laluan Selat Hormuz tidak selamat

Foto fail / RTM

TEHRAN, 1 Ogos – Iran mengisytiharkan bahawa laluan perkapalan melalui Selat Hormuz ketika ini tidak lagi selamat untuk dilalui susulan tindakan agresif berterusan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi (PGSA) menyatakan keadaan keselamatan tidak membenarkan pergerakan kapal di Selat Hormuz buat masa ini.
  • Semua permohonan untuk melalui selat hanya akan dipertimbangkan semula selepas kestabilan berjaya dipulihkan dan permit dikeluarkan secara berperingkat.
  • IRGC mendakwa menyerang dan menghentikan dua kapal tangki yang mengabaikan amaran serta memaksa empat kapal lain berpatah balik.
  • IRGC memberi amaran tidak akan membiarkan campur tangan atau sekatan tidak sah oleh tentera AS tanpa tindak balas; gangguan boleh menjejaskan pasaran tenaga antarabangsa.

Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi Iran (PGSA) dalam satu kenyataan memaklumkan, keadaan keselamatan di laluan strategik itu tidak mengizinkan sebarang pergerakan kapal buat masa ini.

Menurut kenyataan itu, semua permohonan untuk melalui Selat Hormuz akan hanya dipertimbangkan semula selepas kestabilan di kawasan tersebut berjaya dipulihkan.

“Apabila keadaan kembali stabil, semua permohonan akan diteliti dan permit akan dikeluarkan secara berperingkat,” menurut kenyataan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa telah menyerang serta menghentikan dua kapal tangki minyak yang mengabaikan amaran dan cuba melalui selat tersebut menggunakan laluan tidak diisytiharkan dengan pengiring udara tentera AS.

IRGC turut memaklumkan bahawa empat lagi kapal tangki minyak telah dipaksa berpatah balik bagi mengelakkan sebarang insiden lebih serius.

Pasukan itu sekali lagi memberi amaran bahawa sebarang campur tangan, arahan atau sekatan tidak sah oleh tentera AS terhadap kapal-kapal di kawasan berkenaan tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas.

Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan paling penting di dunia bagi perdagangan minyak global, dan sebarang gangguan di kawasan itu berpotensi memberi kesan besar terhadap pasaran tenaga antarabangsa.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.