Trump alu-alukan pelaburan China dalam industri minyak Venezuela

Foto AFP

WASHINGTON, 1 Februari -Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengalu-alukan pelaburan China dalam industri minyak Venezuela.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump mengalu-alukan pelaburan China dalam industri minyak Venezuela dan mempelawa perjanjian minyak.
  • Beliau menyebut India juga akan membeli minyak Venezuela sebagai sebahagian kerjasama tenaga.
  • Amerika Syarikat akan berkongsi keuntungan minyak dengan Venezuela di bawah kepimpinan baharu.

“China dialu-alukan untuk masuk dan mereka boleh membuat perjanjian minyak. Kami mengalu-alukan China,” kata Trump kepada pemberita di atas pesawat Air Force One, pada Sabtu.

Beliau turut memaklumkan bahawa Presiden Interim Venezuela, Delcy Rodriguez, pada Jumaat telah bersetuju dengan perjanjian kerjasama tenaga bersama India.

“India akan membeli minyak Venezuela dan bukannya dari Iran. Kami sudah mencapai persetujuan asas mengenai perkara itu, namun China juga dialu-alukan untuk membeli minyak,” katanya.

Venezuela memiliki rizab minyak terbukti terbesar di dunia dan minggu ini telah meminda undang-undang bagi membuka sektor minyak dan gas kepada pelaburan swasta serta asing.

Bawah pemerintahan Maduro, China merupakan pembeli utama minyak Venezuela.

Namun, penahanan Maduro oleh tentera Amerika Syarikat pada 3 Januari lalu telah dikecam oleh Kementerian Luar China dan menimbulkan ketidaktentuan terhadap hubungan Beijing dengan Caracas.

Trump, yang sebelum ini menyatakan bahawa Washington kini “mengawal” Venezuela, berkata Amerika Syarikat dan Caracas akan berkongsi keuntungan minyak, sambil memuji kepimpinan baharu Venezuela.

“Kami berhubungan dengan baik dengan kepimpinan Venezuela. Mereka melakukan kerja yang sangat baik,” katanya.

“Kami akan menjual banyak minyak. Kami akan mengambil sebahagian dan mereka akan mengambil sebahagian besar. Mereka akan memperoleh lebih banyak pendapatan berbanding sebelum ini, dan ia juga memberi manfaat kepada kami,” tambahnya. – AFP

 

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan