
HYDERABAD, 16 Mei – Perdana Menteri India Narendra Modi menafikan laporan media yang mendakwa kerajaannya merancang mengenakan cukai ke atas perjalanan ke luar negara.
- Perdana Menteri Modi menafikan laporan bahawa kerajaan merancang mengenakan cukai ke atas perjalanan ke luar negara.
- Laporan CNBC TV-18 mendakwa cadangan cukai atau surcaj perjalanan sedang dibincangkan di peringkat tertinggi, tiada keputusan muktamad dibuat.
- Modi menyifatkan dakwaan itu tidak benar dan menegaskan tiada niat untuk mengenakan sekatan terhadap perjalanan ke luar negara.
- Dalam ucapan 10 Mei, Modi menggesa rakyat berjimat bahan api, elak pembelian emas dan kurangkan perjalanan luar negara demi simpanan pertukaran asing.
“Ini sama sekali tidak benar. Tidak ada langsung kebenaran dalam dakwaan itu,” kata Modi menerusi hantaran di platform X pada Jumaat.
Laporan CNBC TV-18 sebelum ini, memetik sumber menyatakan satu cadangan sedang dibincangkan di peringkat tertinggi untuk mengenakan cukai atau surcaj ke atas perjalanan ke luar negara, namun tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.
“Tidak timbul soal mengenakan sekatan seperti itu terhadap perjalanan ke luar negara,” kata Modi sambil memetik laporan berkenaan dalam hantaran beliau.
Dalam ucapan pada 10 Mei lalu, Modi menggesa rakyat India berjimat dalam penggunaan bahan api serta mengelakkan pembelian emas dan perjalanan ke luar negara bagi menjimatkan pertukaran asing susulan kesan buruk konflik Asia Barat terhadap ekonomi negara itu.
Kerajaan India pada Rabu menaikkan cukai import emas dan perak daripada enam peratus kepada 15 peratus.
Syarikat minyak milik kerajaan India pula pada Jumaat menaikkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak tiga rupee seliter, atau lebih tiga peratus bagi mengimbangi sebahagian kesan kenaikan kos import minyak mentah./BERNAMA