Thailand dakwa Kemboja lancar serangan mortar

(Foto fail) Peluru mortar yang tidak meletup susulan pertempuran antara tentera Kemboja dan Thailand di Kampung Boeung Trakoun, Wilayah Banteay Meanchey pada 3 Januari lalu/AFP

BANGKOK, 6 Januari- Tentera Thailand mendakwa pasukan Kemboja melanggar gencatan senjata yang berkuat kuasa 10 hari lalu apabila melancarkan serangan mortar ke atas wilayah sempadan Ubon Ratchathani yang mengakibatkan seorang anggota tentera cedera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemboja didakwa melancarkan serangan mortar ke wilayah sempadan Ubon Ratchathani, melanggar gencatan senjata.
  • Seorang anggota tentera Thailand cedera akibat serpihan dan sedang dipindahkan untuk rawatan.
  • Tiada kenyataan balas daripada Kemboja setakat ini, walaupun gencatan senjata dipersetujui 27 Disember.

“Kemboja telah melanggar gencatan senjata,” menurut kenyataan tentera Thailand yang mendakwa Kemboja melepaskan mortar ke wilayah berkenaan pagi tadi.

Tambah kenyataan itu, anggota tentera yang cedera akibat serpihan sedang dipindahkan untuk rawatan.

Sehingga kini, Kemboja belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai dakwaan serangan terbaharu berkenaan.

Thailand dan Kemboja bersetuju gencatan senjata pada 27 Disember.

Pertikaian berdekad antara kedua-dua negara telah mencetuskan pertempuran ketenteraan beberapa kali tahun lalu termasuk pada Disember yang meragut puluhan nyawa dan kira-kira sejuta penduduk berpindah. -AFP