Talian komunikasi diwujudkan di Selat Hormuz, elak konflik

Foto AFP

TEHRAN, 23 Jun – Iran bersetuju untuk mewujudkan satu talian komunikasi khas berkaitan laluan kapal di Selat Hormuz bagi mengelakkan sebarang insiden dan konflik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Proses menandatangani dokumen bagi pencairan aset Iran sebanyak AS$12 bilion telah dimuktamadkan.
  • Presiden AS Donald Trump memberi amaran keras bahawa beliau akan bertindak jika Iran gagal mematuhi perjanjian.
  • Siri serangan dan balasan membabitkan AS, Israel dan Iran mengorbankan ribuan, mengusir jutaan, serta menggoncang pasaran dan harga minyak global.

Ketua Perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata persetujuan itu dicapai susulan rundingan terbaharu antara Tehran dan Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung di Switzerland.

Bercakap kepada stesen televisyen rasmi negara itu pada Isnin, beliau turut mengesahkan bahawa proses menandatangani dokumen bagi pencairan aset Iran yang dibekukan bernilai AS$12 bilion telah dimuktamadkan dalam rundingan tersebut.

Sementara itu di Washington, Presiden AS Donald Trump mengeluarkan amaran keras bahawa beliau “akan melakukan apa sahaja yang perlu” sekiranya Iran gagal mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui dengan pentadbirannya.

Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian sebelum ini telah menandatangani satu perjanjian interim pada minggu lepas, iaitu selepas lebih tiga bulan berlakunya konflik ketenteraan antara kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, ketegangan tercetus apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, sebelum dibalas oleh Tehran melalui serangan balas ke atas Israel serta beberapa negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS.

Siri serangan AS-Israel ke atas Iran serta operasi ketenteraan Israel di Lubnan setakat ini telah mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal.

Konflik itu turut menjejaskan kestabilan pasaran kewangan global, selain mencetuskan lonjakan mendadak harga minyak mentah dunia. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.