
PARIS, 17 Mei- Sebuah kapal angkasa kerjasama Eropah dan China dijadual dilancarkan ke orbit bumi pada Selasa (19 Mei) dari Pusat Angkasa Eropah di Kourou, Guiana Perancis bagi mengkaji interaksi antara angin suria dan medan magnet bumi.
- SMILE akan melakukan pemerhatian sinar-X pertama terhadap medan magnet Bumi untuk memahami interaksi angin suria dengan magnetosfera dan ionosfera.
- Misi ini penting untuk meningkatkan kefahaman cuaca angkasa yang boleh menjejaskan satelit, komunikasi dan grid kuasa di Bumi.
- Orbit elips membolehkan pemerhatian berpanjangan termasuk aurora sehingga 45 jam, membantu kajian ribut geomagnetik dan impaknya pada teknologi moden.
Misi SMILE (Solar Wind Magnetosphere Ionosphere Link Explorer) merupakan projek bersama Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Akademi Sains China (CAS) untuk memahami kesan ribut suria terhadap sistem perlindungan semula jadi bumi.
Kapal angkasa bersaiz seperti van itu akan melakukan pemerhatian sinar-x pertama terhadap medan magnet bumi ketika berdepan zarah bercas daripada matahari.
Menurut ESA, misi berkenaan penting bagi mempertingkat kefahaman mengenai “cuaca angkasa” yang boleh menjejaskan satelit, komunikasi dan grid kuasa di bumi.
“Angin suria boleh bergerak pada kelajuan kira-kira dua juta kilometer sejam sebelum sampai ke bumi dalam tempoh satu hingga dua hari,” menurut ESA.

Angin suria merupakan aliran zarah bercas daripada matahari, manakala letusan jisim korona boleh meningkatkan intensiti aliran tersebut sehingga mencetuskan ribut geomagnetik apabila tiba di bumi.
Apabila sampai, medan magnet bumi bertindak sebagai perisai semula jadi, namun gangguan kuat boleh menjejaskan sistem teknologi moden serta menghasilkan fenomena aurora di kawasan kutub.
SMILE akan ditempatkan dalam orbit elips antara sekitar 700 kilometer hingga lebih 100,000 kilometer dari bumi, membolehkan pemerhatian berpanjangan termasuk aurora sehingga 45 jam tanpa gangguan.
Misi itu dijangka beroperasi selama tiga tahun dan berpotensi dilanjutkan jika sistem berfungsi seperti dirancang. -AFP