
OSLO, 10 Februari- Skandal Jeffrey Epstein mengaitkan beberapa tokoh ternama Norway termasuk Puteri Mahkota dan bekas Perdana Menteri telah mencetuskan krisis kepercayaan dalam masyarakat di negara itu ketika ini.
- Pendedahan dokumen mendedahkan hubungan rapat ahli elit Norway dengan Jeffrey Epstein, termasuk ratusan e-mel antara Puteri Mahkota Mette-Marit dan Epstein.
- Polis membuka siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Thorbjorn Jagland dan diplomat Mona Juul atas dakwaan rasuah berat dan kemungkinan bersubahat.
- Tokoh terbabit kini memohon maaf, sementara institusi seperti Forum Ekonomi Dunia lancar semakan bebas terhadap keterlibatan pemimpin Norway.
“Sesuatunya tidak kena di Kerajaan Norway,” tulis penulis Norway, Aslak Nore dalam rencana minggu lalu, memetik semula kata-kata Shakespeare dalam Hamlet.
Kenyataan itu dikongsi ramai rakyat Norway susulan pendedahan dokumen baharu berkaitan penyiasatan terhadap Epstein, seorang pesalah seksual yang meninggal dunia pada 2019 ketika menunggu perbicaraan berkaitan pemerdagangan seks.
Dokumen hampir tiga juta helai itu mendedahkan hubungan lebih rapat antara ahli elit Norway dan Epstein termasuk ratusan e-mel bertarikh antara 2011 hingga 2014 antara Puteri Mahkota, Mette-Marit dan Epstein yang telah disabitkan kesalahan pada 2008 kerana menggoda seorang remaja.
Polis Norway turut membuka siasatan terhadap “rasuah berat” membabitkan bekas Perdana Menteri, Thorbjorn Jagland dan diplomat terkenal Mona Juul serta suaminya Terje Rod-Larsen berhubung kemungkinan bersubahat.
Penyiasatan terhadap Jagland memfokuskan hubungannya dengan Epstein ketika beliau menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Nobel dan Setiausaha Agung Majlis Eropah.
Sementara itu, siasatan terhadap Juul menumpukan pada hubungannya dengan Epstein sewaktu berkhidmat di Kementerian Luar Norway sebelum dilantik sebagai duta ke United Kingdom.
Di Switzerland, Forum Ekonomi Dunia minggu lalu mengumumkan akan menjalankan semakan bebas terhadap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Borge Brende yang juga bekas Menteri Luar Norway susulan dilaporkan pernah bertemu Jeffrey Epstein beberapa kali pada 2018 dan 2019.”
Beberapa tokoh terbabit sebelum ini menafikan hubungan rapat mereka dengan Epstein, namun kini tampil dengan nada lebih memohon maaf termasuk Puteri Mette-Marit.
“Saya amat menyesal dengan persahabatan saya bersama Jeffrey Epstein,” katanya dalam kenyataan minggu lalu.
Laporan media Norway turut menunjukkan sebahagian mereka yang dikaitkan dengan skandal mungkin memperoleh manfaat daripada hubungan mereka dengan Epstein. -AFP