SK Hynix rekod keuntungan tertinggi didorong permintaan kukuh

Pengeluar cip Korea Selatan, SK Hynix/ REUTERS

SEOUL, 29 Julai – Pengeluar cip Korea Selatan, SK Hynix mencatat keuntungan operasi suku tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat, didorong permintaan kukuh terhadap cip memori berprestasi tinggi bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • SK Hynix mempercepat usaha mendapatkan kontrak bekalan jangka panjang untuk kurangkan kesan turun naik permintaan industri cip memori.
  • Pertumbuhan permintaan untuk cip memori berprestasi tinggi dorong kenaikan harga, tetapi penghantaran lebih perlahan dari jangkaan menyebabkan keputusan kewangan tidak capai sasaran.
  • Kebimbangan pelabur tentang pembiayaan infrastruktur AI dan persaingan China menekan saham serta memberi tekanan kepada pengeluar cip global.

Bagaimanapun, prestasi syarikat itu masih belum mencapai jangkaan tinggi pelabur yang dipacu ledakan AI, sekali gus mendorong SK Hynix mempercepat usaha mendapatkan kontrak bekalan jangka panjang bagi mengurangkan kesan turun naik permintaan dalam industri cip memori.

Pembekal utama kepada syarikat teknologi Nvidia itu merekodkan keuntungan operasi sebanyak 60.5 trilion won (AS$41.62 bilion) bagi tempoh April hingga Jun, meningkat lebih enam kali ganda berbanding 9.2 trilion won yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Namun, angka itu masih bawah unjuran 64 trilion won menurut LSEG SmartEstimate.

Menurut SK Hynix, pertumbuhan permintaan yang berterusan susulan peningkatan pelaburan dalam infrastruktur AI telah mendorong kenaikan harga produk memori berprestasi tinggi untuk pelayan AI, sekali gus membolehkan syarikat mencatat rekod keuntungan baharu mengatasi pencapaian suku sebelumnya.

Pertumbuhan penghantaran cip memori berprestasi tinggi yang lebih perlahan daripada jangkaan menyumbang kepada keputusan kewangan yang tidak mencapai sasaran pasaran.

Saham SK Hynix turut susut 1.5 peratus di Bursa Seoul selepas merosot hampir 15 peratus pada Selasa berikutan kebimbangan terhadap pembiayaan infrastruktur AI serta persaingan yang semakin sengit daripada China.

Dalam pada itu, pelabur turut bimbang mengenai kemampuan syarikat penyedia perkhidmatan awan berskala besar seperti Microsoft, Alphabet, Amazon, Meta Platforms dan Oracle membiayai pelaburan bernilai ratusan bilion dolar bagi pembangunan infrastruktur AI.

Kebimbangan itu telah memberi tekanan kepada saham syarikat pengeluar cip di seluruh dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.