Setiausaha Agung PBB bimbang amaran Trump terhadap Iran

Antonio Guterres/ REUTERS

NEW YORK, 8 April – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, meluahkan kebimbangan susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengenai Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • PBB amat bimbang dengan kenyataan Trump yang mengancam pemusnahan tamadun jika Iran tidak akur.
  • Tiada objektif ketenteraan boleh membenarkan kemusnahan menyeluruh atau penderaan terhadap orang awam; konflik tamat melalui dialog.
  • Ketegangan meningkat dengan serangan ke atas jambatan, lapangan terbang, loji petrokimia dan Pulau Kharg; Iran mengancam serta melancarkan serangan balas.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric memaklumkan perkara itu pada satu taklimat media di ibu pejabat PBB pada Selasa (7 April).

“Setiausaha Agung sangat bimbang dengan kenyataan yang mencadangkan bahawa keseluruhan rakyat atau tamadun mungkin menanggung akibat keputusan politik dan ketenteraan.

“Tiada objektif ketenteraan yang boleh membenarkan kemusnahan menyeluruh ke atas infrastruktur sesebuah masyarakat atau penderaan sengaja terhadap penduduk awam. Setiausaha Agung menegaskan bahawa konflik hanya berakhir apabila pemimpin memilih dialog berbanding kemusnahan,” kata Dujarric.

Hantaran Trump menerusi platform Truth Social memberi amaran bahawa “seluruh tamadun akan musnah” apabila Iran menunjukkan tiada tanda menerima ultimatum beliau untuk membuka Selat Hormuz menjelang malam Selasa.

“Seluruh tamadun akan musnah malam ini, dan tidak akan dapat dibawa kembali. Saya tidak mahu ini berlaku, tetapi mungkin ia akan terjadi.

“Namun, sekarang bahawa kita mempunyai perubahan sepenuhnya, dengan pemikiran lebih bijak dan kurang radikal yang menguasai, mungkin sesuatu yang pembaharuan dapat berlaku.

“Kita akan mengetahui malam ini, salah satu detik paling penting dalam sejarah dunia yang panjang dan kompleks,” menurut hantaran itu.

Trump memberi Iran sehingga pukul 8.00 malam waktu Washington – bersamaan 3.30 pagi waktu Tehran – untuk menamatkan sekatan terhadap minyak Teluk atau AS akan memusnahkan setiap jambatan dan loji kuasa di Iran.

Iran pula mengancam akan membalas serangan terhadap negara sekutu AS di Teluk, yang bandar gurunnya bakal tidak dapat didiami tanpa bekalan kuasa dan air.

Menjelang tamatnya ultimatum Trump, serangan ke atas Iran semakin meningkat, menyasarkan jambatan kereta api dan jalan raya, sebuah lapangan terbang serta sebuah loji petrokimia. Pasukan AS turut menyerang sasaran di Pulau Kharg, terminal utama eksport minyak Iran.

Sebagai tindak balas, Iran mengisytiharkan bahawa mereka tidak lagi akan menahan diri daripada menyerang infrastruktur negara jiran di Teluk, dan mendakwa telah melakukan serangan baharu ke atas sebuah kapal di Teluk serta sebuah loji petrokimia besar di Arab Saudi.- REUTERS