
BEIRUT, 6 April – Jentolak dan pasukan penyelamat meneruskan kerja-kerja membersihkan runtuhan di kawasan Jnah, di sini pada Isnin susulan serangan udara yang dilakukan rejim Zionis Israel sehari sebelumnya.
- Negara menyaksikan antara hari paling ganas sejak pertempuran tercetus pada Februari, dengan bunyi serangan dan pesawat terbang rendah menggema.
- Serangan mengorbankan lima orang dan mencederakan 52, termasuk lapan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
- Konflik berkaitan Hezbollah sejak 2 Mac; jumlah korban dilaporkan 1,461 terbunuh dan lebih sejuta kehilangan tempat tinggal.
Negara itu menyaksikan antara hari paling ganas sejak pertempuran dengan Israel tercetus awal Februari lalu. Sepanjang hari, bandar Beirut bergema dengan bunyi serangan serta deruman pesawat yang terbang rendah.
Bangunan musnah, kenderaan rosak dan serpihan runtuhan yang berselerak di dalam kediaman dapat dilihat di kawasan terjejas.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan pada Isnin serangan Israel di kawasan Jnah mengorbankan lima orang dan mencederakan 52 yang lain, termasuk lapan kanak-kanak.
Lubnan terlibat ke dalam konflik di Asia Barat apabila kumpulan bersenjata Hezbollah yang disokong Iran bertindak balas ke atas Israel dengan melancarkan roket pada 2 Mac sebagai tanda sokongan kepada Tehran.
Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan seramai 1,461 orang terbunuh akibat serangan Israel setakat Ahad, dengan peningkatan 39 kematian dalam tempoh kira-kira 24 jam. Lebih sejuta penduduk pula dilaporkan kehilangan tempat tinggal.- REUTERS