
DEIR EL-BALAH, 21 Jun – Serangan Israel di Semenanjung Gaza mengakibatkan 10 rakyat Palestin termasuk jurukamera Al Jazeera, Ahmad Washah, terbunuh.
- Serangan dron Israel di Kem Al-Bureij membunuh 10 rakyat Palestin termasuk jurukamera Al Jazeera Ahmad Washah.
- Kematian Washah menjadikan jumlah wartawan dan kakitangan Al Jazeera terbunuh sejak Oktober 2023 mencecah 12 orang.
- Serangan lain di Gaza membunuh beberapa individu, termasuk empat di kawasan Al-Tayaran dan seorang warga emas terkena tembakan laut Israel.
Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar mengesahkan Washah terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah rumah di Kem Al-Bureij.
“Kematian Washah menyaksikan angka wartawan serta kakitangan Al Jazeera yang terkorban sejak Oktober 2023 mencecah 12 individu,”menurut Al Jazeera menerusi laman webnya.
Serangan menggunakan dron di kem pelarian berkenaan turut mencederakan beberapa individu lain dan disifatkan pelanggaran terbaharu terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025.
Di Bandaraya Gaza pula, empat individu terbunuh dalam serangan dron zionis yang menyasarkan kediaman keluarga berkenaan berhampiran Persimpangan Al-Tayaran.
Sementara itu, seorang warga emas Palestin terbunuh akibat tembakan tentera laut Israel yang menyasarkan khemah penempatan penduduk yang dipindahkan di Jalan Al-Bahr dekat kawasan Al-Amadi.
Serangan yang menyasarkan beberapa lokasi turut mengakibatkan beberapa individu terkorban.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel telah mengakibatkan 1,007 rakyat Palestin terbunuh dan 3,165 lagi cedera.
Namun, sejak Oktober 2023, tentera Israel mendakwa telah membunuh beberapa individu yang menurut mereka merupakan “pengganas” Palestin yang bekerja di bawah perlindungan atau menyamar sebagai pengamal media.-AFP