Serangan baharu gegar Tehran ketika tarikh akhir ancaman Trump hampir tiba

 Foto AFP

TEHRAN, 7 April – Serangan baharu menggegarkan Tehran pada Selasa ketika Iran tidak menunjukkan tanda untuk berundur, sedang tarikh akhir yang ditetapkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, semakin hampir bagi membuka semula Selat Hormuz atau berdepan kemusnahan infrastruktur awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump mengugut pemusnahan menyeluruh terhadap infrastruktur kritikal Iran jika Selat Hormuz tidak dibuka semula menjelang tarikh akhir beliau.
  • Tehran menolak retorik AS, menegaskan operasi bersenjata tidak akan terjejas dan tidak akan tunduk kepada tekanan terhadap kepentingan terasnya.
  • Rundingan perantara 45 hari dicadangkan oleh Pakistan, Mesir dan Turki; kedua pihak anggap cadangan tidak mencukupi.
  • Ketakutan orang awam meningkat; warga kehilangan nyawa, nasihat elakkan kereta api dan penutupan sementara Jambatan King Fahd dilaporkan.

Trump memberi amaran bahawa sekiranya Tehran tidak membenarkan laluan bebas melalui laluan strategik minyak itu menjelang tengah malam, Amerika Syarikat akan melancarkan apa yang disifatkannya sebagai “pemusnahan menyeluruh” terhadap infrastruktur kritikal Iran.

“Saya sangat takut dan semua orang di negara ini juga patut berasa begitu,” kata seorang pelajar universiti, Metanat, yang kehilangan rakan sekelas dalam serangan dua minggu lalu.

Wanita berusia 27 tahun itu berkata ada yang menganggap ultimatum Trump sebagai gurauan, namun menegaskan kematian bukan perkara main-main.

Duta Iran ke Pakistan, yang menjadi perantara antara Iran dan Amerika Syarikat, berkata usaha menamatkan perang kini “menghampiri tahap kritikal dan sensitif”, tanpa memperincikan lanjut.

Lebih lima minggu konflik berlarutan, tentera Iran menolak apa yang disifatkan sebagai “retorik angkuh dan ancaman tidak berasas” oleh Trump, sambil menegaskan ia tidak akan menjejaskan operasi mereka.

“Setiap jambatan di Iran akan dimusnahkan” dan setiap loji tenaga akan musnah, terbakar dan tidak dapat digunakan lagi jika tiada perjanjian dicapai.” kata Trump dalam sidang media ketika memberi amaran dakwaan bahawa serangan sedemikian merupakan jenayah perang.

Seorang pesara Iran, Morteza Hamidi, berkata beliau tidak lagi mengambil serius ancaman Trump.

“Kami sudah lali dengan ancamannya,” katanya, sambil meluahkan kebimbangan terhadap masa depan negara selepas perang.

Pada Selasa, tentera Israel menasihatkan rakyat Iran supaya mengelakkan penggunaan kereta api sehingga 1730 GMT, manakala di Teluk, trafik di Jambatan King Fahd laluan utama yang menghubungkan Arab Saudi dan Bahrain ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga susulan kebimbangan serangan balas Iran.

Beberapa letupan dilaporkan di seluruh Tehran pada Selasa, dengan wartawan AFP menyaksikan kejadian di utara bandar itu.

Serangan Amerika Syarikat-Israel turut memusnahkan sepenuhnya sinagog Rafi-Nia di ibu negara, menurut media tempatan.

Media Iran turut melaporkan letupan di beberapa bahagian ibu negara dan bandar berhampiran, Karaj, pada awal hari.

Terdahulu Trump dan Iran menyatakan cadangan gencatan senjata selama 45 hari yang dikemukakan oleh pengantara antarabangsa masih belum dimuktamadkan.

Pelan itu, yang diusahakan oleh Pakistan, Mesir dan Turki, pada awalnya disifatkan Trump sebagai signifikan sebelum beliau kemudian menyatakan ia tidak mencukupi.

Media kerajaan Iran melaporkan Tehran turut menolak cadangan itu dan menegaskan keperluan menamatkan konflik secara muktamad.

Di bawah pelan tersebut, Iran akan membuka semula selat berkenaan dengan mengenakan bayaran sekitar AS$2 juta bagi setiap kapal, yang akan dikongsi dengan negara jiran, Oman, menurut laporan.

Penganalisis dari Pusat Polisi Antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat, Sina Toossi, berkata perang terhadap infrastruktur bukan lagi ancaman, sebaliknya sudah pun berlaku.

Beliau menambah ketahanan Iran menjadikan Tehran tidak mungkin berundur daripada kepentingan terasnya, khususnya kawalan ke atas Selat Hormuz, walau apa pun kosnya.-AFP