
TOKYO, 27 Februari – Perdana Menteri Jepun,Sanae Takaichi memberi pernyataan jelas pada Jumaat bahawa beliau menentang perubahan peraturan pewarisan dalam keluarga diraja Jepun.
- Sanae Takaichi menolak perubahan peraturan pewarisan dan menyokong laporan panel pakar 2021.
- Tradisi menegaskan pewarisan melalui keturunan lelaki menyebabkan Puteri Aiko terpinggir.
- Pembela tradisi bimbang perubahan boleh cetuskan perpecahan dan menegaskan nasab lelaki penting.
Dalam ucapan di parlimen, Takaichi berkata beliau menghormati laporan panel pakar kerajaan pada 2021 yang menyimpulkan bahawa “adalah wajar untuk mengehadkan kelayakan kepada keturunan lelaki yang berasal dari pihak lelaki dalam keluarga diraja.”
“Kerajaan, dan saya sendiri, menghormati laporan ini,” katanya.
Isu pewarisan keluarga diraja menjadi perhatian awam apabila krisis pewarisan dijangka berlaku, meskipun tinjauan pendapat menunjukkan sokongan tinggi terhadap wanita untuk menaiki takhta.
Tradisi keluarga diraja Jepun menekankan bahawa hanya keturunan lelaki boleh menjadi Maharaja.
Maharaja Naruhito mempunyai seorang anak perempuan, Puteri Aiko, yang kini terpinggir akibat peraturan tersebut.
Jepun telah membahaskan isu pewarisan berkenaan sejak beberapa dekad.
Panel kerajaan pada 2005 mencadangkan takhta diwarisi oleh anak sulung tanpa mengira jantina.
Namun, kelahiran Putera Hisahito, anak saudara Maharaja Naruhito menamatkan perdebatan itu.
Panel pakar kerajaan pada 2021 juga mencadangkan pertimbangan “mengangkat” ahli kerabat diraja lelaki jauh untuk diserap ke dalam keluarga diraja.
Panel itu turut mencadangkan agar anak perempuan keluarga diraja, yang terpaksa meninggalkan keluarga selepas berkahwin, boleh meneruskan tugas awam mereka selepas perkahwinan.
Penyokong tradisi menegaskan bahawa “nasab lelaki yang tidak putus” adalah asas negara Jepun, dan sebarang perubahan boleh mencetuskan perpecahan.
Di bawah perlembagaan pasca perang, keluarga diraja tidak mempunyai kuasa politik.
Namun, tekanan terhadap wanita diraja untuk melahirkan anak lelaki telah menjejaskan kesihatan mereka.
Maharani Masako, bekas diplomat dan Maharani Jepun mengalami penyakit berkaitan tekanan selepas menyertai keluarga diraja.
Manakala Maharani Emerita Michiko, ibu Maharaja Naruhito, juga pernah menghadapi penyakit akibat tekanan. – AFP