
NEW YORK, 9 April – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyambut baik pengumuman gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
- PBB bimbang pertempuran di lokasi lain boleh menjejaskan perjanjian gencatan senjata yang dicapai.
- PBB menggesa semua pihak mematuhi gencatan senjata, menghentikan pertempuran dan memastikan kebebasan pergerakan kapal di Selat Hormuz.
- Utusan baharu Jean Arnault dalam perjalanan ke Tehran dan dijadual melawat Pakistan sebagai pemudah cara gencatan senjata.
Namun badan keselamatan dunia itu melahirkan kebimbangan terhadap pertempuran yang masih berlaku di lokasi lain.
Timbalan Jurucakap PBB Farhan Haq dalam satu taklimat pada Rabu berkata, semua pihak yang terlibat digesa untuk mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata berkenaan.
“Kami bimbang sebarang keganasan di mana-mana bahagian di Asia Barat itu boleh menjejaskan perjanjian yang telah dicapai.
“Justeru, kami mahu memastikan semua pertempuran di mana-mana sahaja dihentikan,” katanya dalam taklimat harian PBB.
Haq berkata, terpulang kepada pihak-pihak yang terlibat dalam gencatan senjata tersebut untuk memperincikan syarat-syarat serta kaedah pelaksanaannya.
“Jelas sekali, keutamaan kami adalah untuk memastikan gencatan senjata ini berkekalan, pertempuran dihentikan, dan terdapat kebebasan pergerakan bagi kapal-kapal di Selat Hormuz,” katanya merujuk kepada laluan penghantaran tenaga utama yang disekat oleh Iran.
Dalam perkembangan sama, Haq memaklumkan bahawa utusan baharu Setiausaha Agung, Jean Arnault kini dalam perjalanan ke Tehran untuk bertemu dengan pegawai-pegawai kerajaan.
Arnault juga dijadualkan melawat Pakistan, yang bertindak sebagai pemudah cara kepada gencatan senjata tersebut, dalam masa terdekat. -REUTERS