Pakistan tutup sekolah, perketat langkah jimat tenaga

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif / REUTERS

ISLAMABAD, 10 Mac– Kerajaan Pakistan mengumumkan penutupan sekolah selama dua minggu serta beberapa langkah penjimatan tenaga susulan kenaikan harga minyak global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan bahan api bagi kenderaan kerajaan dipotong 50% untuk dua bulan.
  • Kerajaan melaksanakan minggu kerja empat hari bagi pejabat kerajaan, kecuali bank.
  • Hanya 50% kakitangan dibenarkan hadir ke pejabat; selebihnya diarahkan bekerja dari rumah.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata, langkah tersebut diambil bagi mengurangkan penggunaan bahan api ketika negara berdepan tekanan ekonomi akibat lonjakan harga tenaga.

“semua sekolah akan ditutup selama dua minggu bermula hujung minggu ini, manakala institusi pengajian tinggi akan beralih kepada kelas dalam talian.

Untuk dua bulan akan datang, peruntukan bahan api bagi kenderaan kerajaan akan dipotong sebanyak 50 peratus,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di sebuah stesen televisyen.

Jelas beliau, kerajaan turut melaksanakan minggu kerja empat hari bagi pejabat kerajaan, kecuali bank.

Selain itu, hanya 50 peratus kakitangan dibenarkan bekerja di pejabat manakala selebihnya diarahkan bekerja dari rumah.

“Perbelanjaan jabatan kerajaan juga dikurangkan selain mengehadkan pembelian peralatan baharu dan perjalanan rasmi ke luar negara,” ujarnya lagi.

Langkah tersebut diambil selepas Pakistan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 55 rupee seliter, kenaikan terbesar pernah direkodkan.

Kenaikan harga bahan api memberi kesan kepada ekonomi Pakistan yang bergantung kepada import tenaga.

Sebahagian penduduk menyokong langkah kerajaan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga.

Namun di Lahore, beberapa peniaga kecil mengkritik penutupan sekolah kerana menjejaskan perniagaan berkaitan kelengkapan persekolahan. -REUTERS