Pakistan lancar serangan udara terhadap bandar utama Afghanistan

FOTO AFP

KABUL, 27 Februari – Pakistan melancarkan serangan udara ke atas beberapa bandar utama Afghanistan termasuk ibu kota, Kabul, pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pakistan isytihar konfrontasi dengan kerajaan Taliban selepas serangan udara menyasarkan Kabul, Paktia dan Kandahar.
  • Terdapat laporan kecederaan awam di Torkham dan lapan anggota tentera Afghanistan maut dalam serangan darat.
  • Hubungan meruncing selepas berbalas serangan sempadan dan penutupan majoriti lintasan darat.

Menteri Pertahanan Pakistan mengisytiharkan kedua-dua negara kini berada dalam “perang terbuka” selepas beberapa bulan berbalas serangan di sempadan.

Serangan tersebut menyusuli serangan Afghanistan ke atas tentera sempadan Pakistan pada Khamis.

Hubungan kedua-dua negara semakin meruncing sejak insiden berbalas tembakan maut pada Oktober lalu yang meragut lebih 70 nyawa di kedua-dua belah sempadan.

Perkara itu menyebabkan majoriti lintasan darat ditutup.

Menteri Komunikasi Pakistan, Attaullah Tarar, memaklumkan melalui X bahawa “serangan udara telah menyasarkan Kabul, Paktia dan Kandahar” .

Manakala Menteri Pertahanan, Khawaja Asif, mengisytiharkan konfrontasi dengan kerajaan Taliban.

Sementara itu, Kerajaan Taliban melalui jurucakap Zabihullah Mujahid berkata mengesahkan serangan udara berkenaan namun tiada sebarang korban dilaporkan.

Bagaimanapun, beberapa orang awam dilaporkan cedera di Torkham, termasuk seorang wanita dalam keadaan serius.

Kementerian Pertahanan Afghanistan melaporkan lapan tenteranya maut dalam serangan darat.

Ketegangan sempadan berlarutan sejak beberapa bulan, termasuk beberapa siri letupan bom bunuh diri di kedua-dua negara. – AFP