Operasi cari mangsa terperangkap di bawah runtuhan dipergiat

Pasukan penyelamat giat mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan / REUTERS

TEHRAN, 13 Mac – Sukarelawan Bulan Sabit Merah Iran bertungkus-lumus melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan runtuhan bangunan di kejiranan Javadiyeh dan Beryanak, di sini bagi mencari mangsa yang terselamat selepas gelombang serangan udara terbaharu melanda ibu kota itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Unit anjing pengesan membantu pasukan penyelamat menggali runtuhan dan mengusung mangsa menggunakan tandu di kawasan perumahan terjejas.
  • Serangan dilaporkan oleh media tempatan dikaitkan dengan AS dan Israel semasa perarakan Hari Al-Quds.
  • Peperangan minggu kedua dilaporkan mengorbankan kira-kira 2,000 nyawa dan menggoncang pasaran tenaga global.
  • Di Washington, Presiden Trump memberi amaran serangan akan diperhebat dan mengeluarkan pengecualian 30 hari bagi minyak Rusia.

Dalam operasi yang dibantu oleh unit anjing pengesan, pasukan penyelamat menggali runtuhan dan membawa mangsa menggunakan pengusung di kawasan perumahan yang terjejas teruk.

Agensi berita antarabangsa Reuters mengesahkan lokasi kejadian di daerah Javadiyeh berdasarkan analisis visual bangunan, papan tanda jalan, dan imej satelit.

Meskipun tarikh rakaman tidak dapat disahkan secara bebas, media tempatan melaporkan serangan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan Israel itu berlaku ketika perarakan Hari Al-Quds sedang berlangsung.

Peperangan yang kini memasuki minggu kedua dilaporkan telah mengorbankan kira-kira 2,000 nyawa dan mencetuskan kepincangan luar biasa dalam pasaran tenaga global.

Di Washington, Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa AS akan memperhebatkan serangan terhadap Iran dalam tempoh seminggu akan datang.

Dalam usaha untuk meredakan lonjakan harga minyak yang didorong oleh konflik ini, Trump dilaporkan telah mengeluarkan pengecualian 30 hari bagi pembelian minyak Rusia yang sebelum ini dikenakan sekatan.

Keadaan di tenggara Tehran kekal kritikal dengan operasi SAR diteruskan tanpa henti bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terperangkap di bawah sisa runtuhan.-REUTERS