
LAS VEGAS, 7 Januari – Lego daripada Denmark memperkenalkan platform permainan interaktif baharu, Smart Play yang menggunakan Lego Smart Brick, termasuk barisan set Star Wars yang menggabungkan teknologi itu pada Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2026 di Las Vegas.
- Lego lancarkan platform Smart Play dan Smart Brick yang membawa teknologi interaktif kepada permainan fizikal.
- Smart Brick dilengkapi sensor, akselerometer, pengesan cahaya, bunyi dan mikrofon untuk interaksi objek.
- Smart Minifigures berinteraksi untuk mencetus reaksi dan permainan mini rahsia meningkatkan elemen permainan.
- Kerjasama dengan Disney hasilkan rangkaian Star Wars berteknologi, dilancarkan 1 Mac 2026 di pasaran terpilih.
Smart Brick berbentuk seperti bata Lego biasa dan boleh digunakan dengan set sedia ada, tetapi mampu berinteraksi dengan bata dan tag lain melalui sensor, akselerometer, pengesan cahaya, sensor bunyi dan mikrofon terbina dalam. Ia dapat mengesan jarak, gerakan dan orientasi berbanding bata lain.
“Ini memberi peluang untuk membawa dimensi baharu kepada set Lego dan cara bermain, sama ada tindak balas bunyi, interaksi antara objek, mahupun permainan sosial,” kata Ketua Pegawai Produk dan Pemasaran Lego, Julia Goldin.
Set baharu itu juga menampilkan Smart Minifigures yang boleh berinteraksi untuk membuka reaksi dan permainan mini rahsia.
Menurut Naib Presiden Kanan Lego dan Ketua Creative Play Lab, Tom Donaldson, teknologi dalam Smart Brick termasuk bateri, pembesar suara dan papan litar bercetak dengan beberapa butiran lain yang dirahsiakan bagi mengekalkan elemen kejutan.
Menerusi kerjasama dengan The Walt Disney Company, Lego turut melancarkan barisan set Star Wars baharu, lengkap dengan figura, kenderaan dan lokasi terkenal daripada francais itu.
Naib Presiden Global Hardlines Disney Consumer Products, Divya Dalal memaklumkan Smart Brick mengekalkan pengalaman fizikal tradisional Lego, sambil menambah elemen teknologi yang diminati kanak-kanak moden, memupuk kreativiti dan imaginasi dalam cara yang selamat.
Set Lego Smart Brick Star Wars dijangka dilancarkan pada 1 Mac 2026 di pasaran terpilih.
CES 2026 merupakan salah satu pameran teknologi terbesar di Amerika Syarikat, berlangsung dari 6 hingga 9 Januari ini. -REUTERS