
JEDDAH, 26 Februari – Lebih 75 negara menyertai Forum Ramadan anjuran Persekutuan Agensi Berita Pertubuhan Kerjasama Islam (UNA) dengan kerjasama Liga Dunia Muslim (MWL) dalam majlis Himpunan Sahur yang berlangsung di sini.
- Lebih 75 negara sertai Forum Ramadan UNA bersama MWL, menzahirkan sokongan padu terhadap perpaduan Islam.
- Sheikh Dr. Mohammed Al-Issa tekankan Piagam Mekah sebagai asas membina jambatan persefahaman antara mazhab.
- Al-Shahri sorot kepentingan komunikasi strategik dan kerjasama rentas negara untuk mengukuhkan dialog mazhab.
- Pelancaran buku Piagam Mekah dan Anugerah Profesionalisme Media kepada WAFA bagi mengangkat mesej kesederhanaan dan realiti Palestin.
Sekali gus, menzahirkan sokongan padu dunia Islam terhadap usaha memperkukuh perpaduan merentasi mazhab dan aliran pemikiran.
Antara tetamu utama yang hadir ialah Setiausaha Agung MWL merangkap Pengerusi Pertubuhan Ulama Muslimin, Sheikh Dr. Mohammed Abdulkarim Al-Issa dan Penolong Setiausaha Agung Komunikasi Korporat MWL, Abdulwahab Mohammed Al-Shahri serta barisan kepimpinan UNA.
Ia turut menghimpunkan wakil media antarabangsa, ilmuwan serta tokoh masyarakat dari pelbagai negara.
Dalam ucaptamanya, Al-Issa menegaskan bahawa Piagam Mekah menjadi asas penting dalam membina jambatan persefahaman antara mazhab, mengukuhkan kesatuan umat serta mempromosikan nilai kesederhanaan dan toleransi di peringkat global.
Sementara itu, Al-Shahri menyorot kepentingan komunikasi strategik dan kerjasama rentas negara dalam memperkukuh dialog antara mazhab serta mempromosikan keamanan sejagat.
Majlis turut menyaksikan pelancaran buku “The Charter of Makkah: The Message of Moderation and Tolerance to the World Global Presence and Civilizational Impact Across Continents” yang mendokumentasikan mesej kesederhanaan dan impaknya di seluruh dunia.
Anugerah Profesionalisme Media turut disampaikan kepada Agensi Berita Palestin (WAFA) sebagai pengiktirafan terhadap peranan media dalam membawa suara dan realiti rakyat Palestin kepada perhatian masyarakat antarabangsa.
Forum bermula pukul 11 malam hingga 3 pagi (waktu tempatan) diakhiri dengan jamuan sahur.