
COLOMBO, 4 Mac – Sri Lanka menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik di Asia Barat supaya mengambil langkah segera serta membuat pengorbanan sewajarnya demi mewujudkan keamanan dunia.
- Seruan Sri Lanka kepada semua pihak supaya segera mencari penyelesaian dan buat pengorbanan demi keamanan dunia.
- Kesan konflik terhadap bekalan minyak, gas, pelancongan, kiriman wang dan sektor penerbangan serta perkapalan di Sri Lanka.
- Keperluan kerajaan merangka program jangka pendek dan panjang untuk menangani krisis serta kesan ekonomi.
Presiden Sri Lanka Anura Kumara Dissanayake menjelaskan pendirian negara itu berhubung krisis berkenaan ketika berucap di Parlimen pada Selasa.
Situasi tersebut memberi impak besar serta ancaman serius terhadap ekonomi global dan kelangsungan hidup masyarakat dunia.
“Tindakan itu penting kerana keadaan ini memberi ancaman besar kepada ekonomi dunia dan kelangsungan hidup manusia,” katanya.
Pada Isnin, barisan panjang dilaporkan di stesen minyak di seluruh Sri Lanka susulan kebimbangan kekurangan bekalan bahan api, ketika negara kepulauan itu masih dalam proses pemulihan daripada krisis kewangan yang mendalam.
Konflik tersebut turut menyaksikan harga minyak mentah Brent melepasi paras AS$80 setong berikutan ketegangan yang semakin memuncak melibatkan Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran, serta ancaman terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz yang meningkatkan kebimbangan gangguan bekalan dari rantau pengeluar utama Asia Barat.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sri Lanka berdepan kesan serta-merta akibat konflik di Asia Barat, khususnya melibatkan bekalan bahan api termasuk minyak dan gas.
Selain itu, sejumlah besar rakyat Sri Lanka yang bekerja di luar negara menetap di rantau berkenaan, sekali gus menimbulkan pelbagai cabaran.
“Turut terkesan ialah sektor pelancongan dan kiriman wang dari luar negara, yang kedua-duanya amat penting kepada ekonomi negara. Sektor perkapalan dan penerbangan juga menerima impak.
“Kerajaan perlu merangka program jangka pendek dan jangka panjang bagi menghadapi krisis yang bakal menjejaskan negara,” jelas beliau.- REUTERS