
WASHINGTON, 1 April– Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan beliau sedang mempertimbangkan secara serius untuk menarik keluar AS daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas perikatan itu gagal menyertai serangan ke atas Iran.
- Trump mengkritik NATO, menyifatkan organisasi itu tidak berguna dan hanya gah pada nama.
- Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth mengesahkan Trump akan buat keputusan mengenai masa depan NATO berikutan keengganan sekutu memberi bantuan ketenteraan.
- Negara Eropah, termasuk Britain dan Sepanyol, menjauhkan diri; Sepanyol menutup ruang udara kepada penerbangan berkaitan serangan ke atas Iran.
Menurut laporan The Telegraph pada Rabu, Trump menganggap isu keahlian AS dalam NATO sebagai perkara yang tidak perlu dibincangkan lagi.
Beliau turut mengkritik NATO dengan melabelkan organisasi itu sebagai tidak berguna.
“Saya tidak pernah terpengaruh dengan NATO. Saya sentiasa tahu mereka hanya gah pada nama,” katanya sambil meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kegagalan sekutunya untuk memberikan sokongan dalam konflik berkenaan.
Dalam satu sidang media pada Selasa, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mengesahkan bahawa Trump akan membuat keputusan mengenai masa depan NATO memandangkan keengganan beberapa sekutu utama untuk memberikan bantuan ketenteraan selepas tamatnya operasi AS terhadap Iran.
Susulan kritikan keras Trump, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menegaskan bahawa beliau tidak akan mengubah pendiriannya berhubung peperangan tersebut.
Beliau menyatakan bahawa Britain tidak akan membiarkan dirinya diheret ke dalam konflik itu walau apa jua tekanan yang diterima.
Langkah Britain itu mencerminkan pendirian kebanyakan negara Eropah yang memilih untuk menjauhkan diri daripada konflik dengan Iran.
Malah, Sepanyol telah bertindak menutup ruang udaranya kepada semua penerbangan yang berkaitan dengan serangan ketenteraan AS dan Israel ke atas Iran pada Isnin lalu. -REUTERS