Korea Selatan tuntut permohonan maaf Ukraine mengenai perjanjian tahanan perang

Pejabat Presiden Korea Selatan/ AFP

SEOUL, 28 September – Pejabat Presiden Korea Selatan menuntut Ukraine memberikan penjelasan rasmi dan membuat pemohonan maaf, selepas didakwa melanggar perjanjian kerahsiaan berhubung pemindahan dua tawanan perang Korea Utara ke negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zelensky memberitahu PBB dua anggota tentera Korea Utara dihantar ke Korea Selatan, sambil berkata mereka sukar ditangkap hidup.
  • Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung meluahkan kekecewaan terhadap pendedahan Ukraine di platform X.
  • Pejabat Presiden berkata pendedahan unilateral melanggar perjanjian rahsia, merosakkan kepercayaan dan mempertimbangkan langkah susulan.

Insiden itu berlaku selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai dua anggota tentera Korea Utara telah dihantar ke Korea Selatan dan bukan mudah untuk ditangkap hidup-hidup.

Beberapa jam kemudian, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, menerusi hantaran di platform X, meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan Ukraine.

“Saya tidak tahu mengapa pihak Ukraine melanggar perjanjian dan mendedahkan perkara itu kepada umum, ia amat mengecewakan”, katanya.

Sebagai maklum balas, pembantu Zelensky, Dmytro Lytvyn, berkata Ukraine merupakan negara terbuka dan penyerahan kedua-dua anggota tentera itu secara rahsia adalah sesuatu yang janggal.

“Daripada keseluruhan cerita itu yang panjang dan terperinci, kami hanya melaporkan fakta sebenar, iaitu mereka telah dihantar ke Republik Korea,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kanan Presiden Korea Selatan bagi Hal Ehwal Awam, Seong Ghi-hong, berkata tindakan Ukraine mendedahkan perkara itu secara unilateral merupakan pelanggaran serius terhadap perjanjian rahsia antara kedua-dua negara.

“Namun, kenyataan palsu Pejabat Akhbar Presiden Ukraine yang mendakwa tiada perjanjian rahsia menjejaskan kepercayaan antara kedua-dua kerajaan secara serius dan merosakkan hubungan baik antara kedua-dua negara”, katanya.

“Pejabat Presiden Korea Selatan menuntut penjelasan rasmi dan permohonan maaf,” kata Seong.

Tambahya, Pejabat Presiden Korea Selatan sedang mempertimbangkan langkah susulan yang bersesuaian, namun tidak memperincikan tindakan yang bakal diambil.

Awal tahun lalu, Ukraine menahan dua anggota tentera Korea Utara yang menyertai pasukan Pyongyang dalam pertempuran bagi pihak Moscow.

Sebelum ini, seorang Ahli Parlimen Korea Selatan berkata, kedua-dua tawanan itu mahu menjalani ‘kehidupan normal’ di Korea Selatan.

Menurut Perlembagaan Korea Selatan, semua rakyat Korea, termasuk penduduk Korea Utara, dianggap sebagai warganegara negara itu dan pegawai Korea Selatan menyatakan peruntukan berkenaan terpakai kepada anggota tentera Korea Utara yang ditawan di Ukraine.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.