
BEIRUT, 10 Mac – Lebih 667,000 penduduk di Lebanon kini kehilangan tempat tinggal akibat ketegangan serantau yang semakin memuncak, dengan kira-kira 100,000 orang dipindahkan dalam tempoh sehari.
- UNHCR: kadar perpindahan kini lebih pantas berbanding konflik Hizbullah-Israel 2023–2024, ketika kira-kira 886,000 orang dipindahkan.
- Lonjakan perpindahan disebabkan arahan pemindahan berskala besar oleh tentera rejim Israel di selatan Lubnan dan kawasan padat di selatan Beirut.
- Sekitar 120,000 orang ditempatkan di pusat perlindungan kerajaan, manakala ramai lagi masih mencari tempat tinggal.
- WHO: sekurang-kurangnya 84 kanak-kanak terbunuh, 259 cedera; hospital dan petugas berada di bawah tekanan, beberapa hospital dan pusat kesihatan ditutup.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi PBB Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), kadar perpindahan penduduk ketika ini lebih pantas berbanding konflik antara Hizbullah dan Israel pada 2023 hingga 2024, yang menyaksikan kira-kira 886,000 orang dipindahkan di dalam negara itu.
Lonjakan besar perpindahan minggu ini berpunca daripada beberapa arahan pemindahan berskala besar oleh tentera rejim Israel di selatan Lubnan serta kawasan padat penduduk di selatan Beirut.
Kira-kira 120,000 orang kini ditempatkan di pusat perlindungan yang disediakan kerajaan, manakala ramai lagi masih mencari tempat tinggal.
Pada masa sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sekurang-kurangnya 84 kanak-kanak terbunuh dan 259 lagi cedera daripada keseluruhan 486 kematian dan 1,313 kecederaan direkodkan setakat ini.
Menurut wakil WHO di Lubnan, Abdinasir Abubakar, jumlah kanak-kanak yang tinggi terjejas berpunca daripada serangan yang banyak berlaku di kawasan bandar seperti Beirut.
WHO turut memberi amaran hospital dan petugas barisan hadapan di Lubnan kini berada di bawah tekanan luar biasa susulan peningkatan jumlah pesakit.
Setakat ini, lima hospital tidak lagi beroperasi, empat lagi rosak sebahagiannya, manakala 43 pusat penjagaan kesihatan primer ditutup, kebanyakannya di selatan negara itu. – Reuters