Konflik Iran jejas industri eksport kereta terpakai Asia

Gambar diambil pada 16 Mac lalu, kereta terpakai untuk eksport ke Asia Barat masih tersusun di kompleks eksport di Incheon, Korea Selatan/Foto REUTERS

TOKYO, 30 Mac – Konflik melibatkan Iran susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel bulan lalu menjejaskan laluan perkapalan global serta mengganggu perdagangan kereta terpakai di Asia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ratusan kenderaan eksport terkandas selepas kapal tidak dapat berlabuh di Sri Lanka; sebahagian dipindah ke Zhuhai atau dikembalikan ke Jepun.
  • Syarikat perkapalan mengubah laluan untuk elak Selat Hormuz, menyebabkan jadual penghantaran terganggu dan kos penghantaran meningkat.
  • Industri eksport kereta terpakai Jepun dan Korea Selatan hampir lumpuh; kesesakan pelabuhan dan kos tinggi menyukarkan pengeksport memenuhi permintaan Asia Barat.

Situasi itu memberi kesan kepada peniaga termasuk Umar Ali Hyder Ali, yang berpangkalan di Jepun dan mengeksport kenderaan ke Asia Selatan, Asia Barat serta Afrika.

Beliau berkata lebih 500 unit kereta miliknya terkandas di laut selepas kapal tidak dapat berlabuh di Sri Lanka berikutan kesesakan pelabuhan akibat lencongan kargo dari Dubai.

Sebahagian kenderaan berjaya diturunkan di Sri Lanka, manakala selebihnya dialihkan ke pelabuhan Zhuhai di China, malah ada yang mungkin dihantar semula ke Jepun.

Syarikat perkapalan kini mengubah laluan penghantaran bagi mengelak Selat Hormuz, sekali gus menjejaskan jadual penghantaran.

Walaupun penghantaran udara boleh menjadi alternatif, kos yang tinggi hanya mampu ditanggung pelanggan tertentu.

Konflik itu turut menjejaskan industri eksport kereta terpakai Jepun dan Korea Selatan yang bernilai sekitar AS$19 bilion tahun lalu, dengan Asia Barat menjadi pasaran utama.

Presiden Persatuan Eksport Kereta Terpakai Korea Selatan, Park Young-hwa berkata rangkaian perdagangan ke Asia Barat kini “hampir lumpuh”.

Menurutnya, kesesakan di pelabuhan dan peningkatan kos penghantaran menyukarkan mendapatkan kontena, selain ada penghantaran sejak Januari masih belum tiba ke destinasi.

Selat Hormuz, laluan penting antara Iran dan Oman, menjadi titik sempit utama perdagangan, dan sekiranya konflik berlanjutan, tekanan terhadap pengeksport dijangka terus meningkat. – REUTERS