Konflik berterusan di Asia Barat jejas pertumbuhan ekonomi global

Foto REUTERS

PARIS, 26 Mac – Konflik yang semakin memuncak di Asia Barat telah menjejaskan landasan pertumbuhan ekonomi global yang lebih kukuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • OECD memberi amaran gangguan penghantaran tenaga melalui Selat Hormuz boleh meningkatkan inflasi secara mendadak.
  • Unjuran KDNK global disemak turun kepada 2.9% pada 2026, dijangka meningkat sedikit kepada 3.0% pada 2027.
  • Jika harga tenaga terus melonjak, pertumbuhan global mungkin 0.5 mata lebih rendah dan inflasi meningkat sekitar 0.9 mata.

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) memberi amaran sekiranya penghantaran tenaga melalui Selat Hormuz terhenti, ia sekali gus berisiko meningkatkan inflasi secara mendadak.

Organisasi yang berpangkalan di Paris itu menyatakan ekonomi global sebelum ini berada di landasan untuk mencatat pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan sebelum konflik di Asia Barat tercetus.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global kini diunjurkan merosot daripada 3.3 peratus tahun lalu kepada 2.9 peratus pada 2026, sebelum meningkat sedikit kepada 3.0 peratus pada 2027.

Keadaan itu dipengaruhi lonjakan harga tenaga serta ketidaktentuan konflik, yang mengimbangi faktor sokongan seperti pelaburan kukuh dalam teknologi, kadar tarif efektif lebih rendah serta momentum ekonomi sejak 2025.

Unjuran dalam Tinjauan Ekonomi Interim OECD itu bergantung kepada andaian teknikal bahawa gangguan pasaran tenaga akan beransur reda, dengan harga minyak, gas dan baja dijangka menurun secara berperingkat bermula pertengahan 2026.

Unjuran bagi 2026 kekal tidak berubah berbanding ramalan Disember lalu. Namun, petunjuk awal sebelum ini menunjukkan pertumbuhan KDNK global berpotensi disemak naik sekitar 0.3 mata peratusan pada 2026 sekiranya konflik tidak memuncak — peningkatan yang kini terhapus sepenuhnya akibat kesan kesan konflik di Asia Barat.

Seiring kenaikan harga tenaga, inflasi negara-negara G20 dijangka meningkat 1.2 mata peratusan kepada 4.0 peratus pada 2026, sebelum susut kepada 2.7 peratus pada 2027.

Menurut OECD, sekiranya senario bertambah buruk diikuti harga tenaga terus melonjak dan kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, pertumbuhan global dijangka lebih rendah sebanyak 0.5 mata peratusan menjelang tahun kedua, manakala inflasi pula meningkat sebanyak 0.9 mata peratusan.- REUTERS