Tehran tegaskan tiada rundingan rasmi dengan Washington

IRGC lancar peluru berpandu/ REUTERS

TEHRAN, 26 Mac – Pengawal Revolusi Iran melancarkan peluru berpandu, ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggesa negara itu supaya lebih serius dalam usaha mencapai penyelesaian bagi menamatkan hampir empat minggu konflik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tehran masih meneliti cadangan Amerika Syarikat tetapi tiada rundingan rasmi diadakan untuk menamatkan konflik.
  • Kesan ekonomi dan kemanusiaan meningkat; kekurangan bahan api meluas, memaksa syarikat dan negara ambil langkah segera.
  • Rundingan tidak langsung antara Amerika Syarikat dan Iran berlaku melalui penyampaian mesej menerusi Pakistan, Turkiye dan Mesir.
  • Araqchi menegaskan penyampaian mesej melalui negara sahabat serta respons Iran tidak boleh dianggap sebagai rundingan rasmi.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, sebelum ini menegaskan bahawa Tehran masih meneliti cadangan Amerika Syarikat, namun tiada sebarang rundingan diadakan untuk menamatkan konflik tersebut.

Kenyataan Trump dibuat ketika kesan ekonomi dan kemanusiaan akibat konflik di Asia Barat terus meningkat, dengan kekurangan bahan api merebak ke seluruh dunia, sekali gus memaksa syarikat dan negara mengambil langkah segera bagi mengurangkan impak.

Menurut Menteri Luar Pakistan, rundingan tidak langsung antara Amerika Syarikat dan Iran sedang berlangsung melalui penyampaian mesej menerusi Pakistan, dengan beberapa negara lain termasuk Turkiye dan Mesir.

Bagaimanapun, Araqchi menegaskan perkara itu tidak boleh dianggap sebagai rundingan rasmi antara Tehran dan Washington.

“Penyampaian mesej melalui negara sahabat serta respons kami yang menyatakan pendirian atau memberi amaran sewajarnya tidak boleh dianggap sebagai rundingan atau dialog,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.- REUTERS