
OUPIA, 2 Julai – Kebakaran hutan berskala besar dilaporkan merentasi wilayah selatan Perancis pada Rabu, sekali gus memaksa puluhan penduduk dipindahkan segera oleh pihak berkuasa.
- Kawasan sekitar 800 hektar musnah akibat kebakaran; api belum dikawal sepenuhnya pada lewat malam.
- Operasi pemadaman terjejas oleh muka bumi berbukit dan ketiadaan laluan, menuntut penggunaan pesawat pemadam air.
- Suhu sekitar 30 darjah dan angin kencang mempercepatkan penyebaran, mengakibatkan evakuasi kira-kira 200 penduduk.
Ratusan anggota bomba di Herault dan Aude telah dikerah ke lokasi kejadian.
Keadaan dilapor bertambah buruk berikutan faktor cuaca kering akibat kemarau serta tiupan angin kencang.
Bencana ini berlaku setahun selepas kebakaran besar melanda wilayah Corbieres dan hanya beberapa hari selepas gelombang haba ekstrem yang meragut nyawa melanda sebahagian besar Eropah.
Menurut kenyataan pihak penguasa tempatan, kebakaran tersebut telah memusnahkan kawasan seluas sekurang-kurangnya 800 hektar menjelang lewat malam Rabu.
“Kebakaran berjaya disekat di beberapa bahagian, namun situasi keseluruhan masih belum dapat dikawal sepenuhnya,” katanya.
Operasi memadam kebakaran berdepan cabaran getir berikutan bentuk muka bumi yang berbukit-bukit dan ketiadaan laluan akses darat untuk jentera bomba.
Bagi mengatasi kekangan tersebut, beberapa pesawat pemadam api terpaksa digerakkan untuk melakukan pengeboman air dari udara.
Suhu sekitar 30 darjah celsius yang bertembung dengan tiupan angin kencang mempercepatkan lagi rantaian rebakan api merentasi kawasan belukar yang sangat kering.
Susulan itu, sekitar 200 penduduk telah dipindahkan atau diarah berkurung di dalam rumah di Pouzols Minervois dan Mailhac demi keselamatan mereka.
“Asap terlalu tebal hingga anggota bomba mengarahkan kami untuk segera meninggalkan kediaman,” kata seorang salah seorang warga emas yang dipindahka.
Dalam perkembangan sama, anggota bomba tempatan melaporkan dua lagi kebakaran kecil turut dikesan berlaku berhampiran Marseille iaitu di kawasan Rognac dan Lancon Provence.- AFP