
MONTEVIDEO, 2 Julai – Presiden Chile dan Uruguay mengadakan pertemuan khas bagi membincangkan strategi ampuh membanteras jenayah terancang berkaitan dadah.
- Chile mahu Uruguay dan Paraguay menandatangani perjanjian penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras kartel penyeludupan dadah.
- Langkah bertujuan melumpuhkan rangkaian penghantaran kokain berskala besar ke Amerika Syarikat dan Eropah.
- Kast menegaskan keseragaman undang-undang serantau diperlukan untuk membasmi jenayah terancang sepenuhnya.
Pertemuan selama sejam antara Presiden Chile, Jose Antonio Kast dan rakan sejawatannya dari Uruguay, Yamandú Orsi diadakan sehari selepas kedua-dua pemimpin menghadiri Sidang Kemuncak blok perdagangan serantau, Mercosur di Paraguay.
Kast menyatakan harapan agar Uruguay dan Paraguay dapat menyertai Chile dalam masa terdekat bagi menandatangani perjanjian penguatkuasaan undang-undang.
Langkah itu bertujuan melumpuhkan kartel penyeludupan dadah antarabangsa yang aktif mendalangi penghantaran kokain berskala besar dari Amerika Selatan ke Amerika Syarikat dan Eropah.
“Jenayah terancang mungkin boleh dihapuskan di sesebuah negara, namun kita memerlukan keseragaman undang-undang di semua negara sekutu untuk benar-benar membasmi ancaman ini sepenuhnya,” ujar Kast dalam satu kenyataan bersama Orsi.
Kast, yang mendapat sokongan padu daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya Chile pada Disember lalu.
Beliau memenangi mandat rakyat menerusi manifesto tegas untuk memerangi jenayah dan mengekang kebanjiran imigran asing tanpa izin yang didakwa menjadi punca kemasukan kartel serta geng penjenayah ke Chile.
Data menunjukkan, kadar kes pembunuhan di Chile telah meningkat sekali ganda dalam tempoh sedekad lalu kepada 5.4 kes bagi setiap 100,000 penduduk, manakala kadar jenayah di Uruguay dilaporkan hampir dua kali ganda berbanding angka tersebut.- AFP