Kapal Iraq bebas lalui Selat Hormuz tanpa sekatan Iran

Iran mengesahkan bahawa kapal-kapal milik Iraq kini bebas merentasi laluan Selat Hormuz tanpa sebarang halangan./foto AFP

ISTANBUL, 5 April – Iran secara rasmi mengumumkan pengecualian buat Iraq daripada sekatan pelayaran di Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran menegaskan sekatan kekal ke atas kapal dari Amerika Syarikat, Israel dan mana-mana negara yang menyokong mereka.
  • Pemimpin Iran menyifatkan tindakan itu sebagai peluang menamatkan kehadiran ketenteraan Amerika Syarikat di Iraq.
  • Tehran pada 2 Mac mengumumkan sekatan, mengancam menyasarkan kapal yang melintasi Selat Hormuz tanpa penyelarasan awal.
  • Tindakan Iran menaikkan kos perkapalan dan insurans, mencetuskan ketidaktentuan harga minyak serta impak kepada ekonomi global.

Jurucakap Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran, Ibrahim Zolfaqari, mengesahkan bahawa kapal-kapal milik Iraq kini bebas merentasi laluan air strategik tersebut tanpa sebarang kekangan.

“Iraq dikecualikan sepenuhnya daripada sekatan yang kami laksanakan di Selat Hormuz,” tegas Ibrahim Zolfaqari.

Dalam masa sama, beliau turut memberi amaran bahawa sekatan tersebut kekal berkuat kuasa ke atas kapal-kapal dari Amerika Syarikat (AS), Israel, serta mana-mana negara yang menyokong sekutu berkenaan.

Beliau menyifatkan perkembangan terbaharu ini sebagai peluang keemasan untuk menamatkan kehadiran ketenteraan AS di bumi Iraq.

“Rakyat Iraq dan Iran akan berdiri teguh dan menang bersama-sama dalam peperangan menentang AS serta Israel ini,” tambahnya lagi.

Terdahulu pada 2 Mac, Tehran mengumumkan sekatan di Selat Hormuz dengan amaran untuk menyasarkan mana-mana kapal yang melintasi laluan tersebut tanpa penyelarasan awal.

Sebelum krisis memuncak, dianggarkan 20 juta tong minyak melalui selat tersebut setiap hari.

Tindakan Iran itu telah mengakibatkan lonjakan kos perkapalan dan insurans, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan pada harga minyak dan ekonomi global.

Ketegangan memuncak susulan serangan udara besar-besaran oleh AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu yang meragut lebih 1,340 nyawa, termasuk pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei. – BERNAMA