
BAITULMAQDIS, 20 Mac – Israel melancarkan gelombang baharu serangan ke atas Tehran pada Jumaat ketika Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mendakwa Iran kini semakin “dimusnahkan”, ketika ketegangan di rantau Teluk.
- Tentera Israel menyasarkan infrastruktur strategik Iran; pengeboman hampir setiap hari sejak konflik bermula 28 Februari.
- Iran melancar serangan balas ke atas Israel dan negara Teluk, menyasarkan kemudahan minyak dan gas, membimbangkan bekalan tenaga global.
- Konflik minggu keempat mengorbankan ratusan nyawa, menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal, dan merebak ke Lubnan kerana pertempuran Hizbullah.
Tentera Israel memaklumkan serangan tersebut menyasarkan infrastruktur strategik Iran, susulan pengeboman hampir setiap hari ke atas ibu negara itu sejak konflik tercetus pada 28 Februari lalu.
Netanyahu mendakwa keupayaan Iran untuk memperkaya uranium serta menghasilkan peluru berpandu balistik telah terjejas teruk.
Bagaimanapun, Iran terus melancarkan serangan balas ke atas Israel dan negara Teluk, termasuk menyasarkan kemudahan minyak dan gas, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global.
Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait turut melaporkan serangan peluru berpandu, manakala Arab Saudi berjaya memintas berpuluh-puluh dron ketika negara-negara Teluk menyambut Aidilfitri.
Konflik yang memasuki minggu keempat itu telah mengorbankan ratusan nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal, selain merebak ke Lubnan susulan serangan balas antara Israel dan kumpulan Hizbullah.-AFP