
TEHRAN, 5 Mac – Iran menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa ia melancarkan peluru berpandu balistik ke arah Turkiye, sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
- Iran menafikan tuduhan melancarkan peluru berpandu balistik ke arah Turkiye, menolak laporan itu sebagai tidak benar.
- Iran menegaskan penghormatan terhadap kedaulatan dan hubungan baik dengan negara jiran termasuk Turkiye.
- Turkiye dan NATO memintas peluru berpandu berhampiran sempadan; serpihan jatuh di Hatay tanpa kecederaan dilaporkan.
Menurut kenyataan pegawai Turus Angkatan Tentera Iran, laporan yang mendakwa peluru berpandu itu dilepaskan ke arah wilayah Turkiye adalah tidak benar dan “ditolak sekeras-kerasnya”.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa angkatan tentera Iran menghormati kedaulatan negara jiran serta sahabatnya, termasuk Turkiye.
Pada Rabu, pihak Turkiye memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara NATO berjaya memintas sebuah peluru berpandu balistik berhampiran kawasan sempadannya.
Serpihan daripada peluru berpandu pemintas dilaporkan jatuh di kawasan terbuka di Wilayah Hatay, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Setakat ini, sasaran sebenar peluru berpandu berkenaan masih belum dapat dipastikan.
Bagaimanapun, akhbar The New York Times yang memetik pegawai tentera Amerika Syarikat melaporkan bahawa projektil itu berkemungkinan menyasarkan pangkalan udara utama NATO di Pangkalan Udara Incirlik.
Turkiye sebahagian besarnya kekal berkecuali dalam konflik yang melibatkan Iran. Namun begitu, tentera Amerika Syarikat masih ditempatkan di negara tersebut, termasuk di Pangkalan Udara Incirlik yang terletak di Wilayah Adana di selatan Turkiye.
Menurut data Amerika Syarikat, kira-kira 1,500 anggota tenteranya ditempatkan di pangkalan berkenaan, yang dianggap sebagai hab ketenteraan penting di rantau itu. /BERNAMA