
TEHRAN, 17 Julai – Tentera Iran melancarkan serangan ke atas pangkalan dan kemudahan tentera Amerika Syarikat (AS) di Kuwait, Bahrain dan Jordan sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu AS di beberapa lokasi di selatan Iran.
- IRGC memaklumkan pasukan laut dan udara melancarkan serangan bersama menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas sasaran AS.
- Serangan memusnahkan sistem radar C-RAM, pusat komunikasi satelit dan kawasan pemasangan di Pangkalan Udara Ali Al Salem, Kuwait.
- Serangan turut mensasarkan landasan pejuang dan pusat pemerintahan di Al Azraq, Jordan, serta dermaga di Pelabuhan Shuaiba, Kuwait.
- Tentera Iran menembak jatuh dron MQ-9 di ruang udara Andimeshk, Khuzestan; pertempuran berterusan walaupun ada memorandum rundingan.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi saluran Sepah News, memaklumkan pasukan tentera laut dan udara melaksanakan serangan bersama menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas sasaran milik AS.
Menurut IRGC, serangan itu memusnahkan sistem radar ‘Counter Rocket, Artillery and Mortar (C-RAM)’, pusat komunikasi satelit serta kawasan pemasangan di Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait.
Serangan turut menyasarkan landasan jet pejuang dan pusat pemerintahan di Pangkalan Udara Al Azraq di Jordan, selain menyerang sebuah dermaga di Pelabuhan Shuaiba, Kuwait.
Sementara itu, tentera Iran menggunakan dron buatan tempatan untuk menyasarkan sistem radar, pertahanan udara dan depot minyak AS di Pangkalan Udara Ali Al Salem, Kuwait serta kemudahan komunikasi dan radar di Pangkalan Udara Shaikh Isa di Bahrain.
IRGC turut memaklumkan sebuah dron MQ-9 milik musuh berjaya ditembak jatuh di ruang udara bandar Andimeshk, wilayah Khuzestan, di barat daya Iran, pada awal Khamis.
Pertempuran antara Iran dan Amerika Syarikat berterusan sejak beberapa hari lalu, meskipun kedua-dua negara mencapai memorandum persefahaman damai pada 18 Jun yang menetapkan rundingan akan diadakan dalam tempoh 60 hari.-REUTERS