
BAITULMAQDIS, 2 April- Iran dilapor telah melancarkan tiga gelombang serangan roket ke atas beberapa kawasan haram Israel pada awal Khamis.
- Iran melancarkan tiga gelombang roket ke atas Israel selepas ucapan Trump mengenai kemungkinan tamat konflik.
- Serangan berlangsung lebih tiga jam, menyasarkan utara dan tengah Israel serta mencetuskan siren kecemasan.
- Menteri Luar Abbas Araghchi nafikan rundingan rasmi dengan AS, kata pertukaran mesej tidak dianggap rundingan dan kepercayaan pada tahap sifar.
Serangan berlaku sejurus selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyampaikan ucapan mengenai konflik di Asia Barat pada Rabu.
Dalam tempoh lebih tiga jam selepas serangan pertama, Iran melancarkan roket ke utara dan tengah Israel.
Serangan berkenaan turut mencetuskan siren di kawasan musuh berkenaan.
Terdahulu, Trump memaklumkan konflik AS-Israel dengan Iran mungkin berakhir dalam dua hingga tiga minggu lagi sambil menyatakan kemungkinan ada rundingan akan tercapai sebelum itu.
Selain mengancam untuk menghantar serangan secara habis-habisan ke Iran dalam tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan Iran tidak pernah terlibat dalam rundingan rasmi dengan AS termasuk cadangan pelan 15 perkara dari Washington yang kononnya bagi mengakhiri konflik semasa.
Araghchi berkata beliau ada menerima mesej daripada utusan khas AS secara langsung dan melalui perantara di rantau ini tetapi pertukaran mesej itu tidak dianggap Tehran sebagai satu rundingan rasmi.
“Kami tidak mempunyai kepercayaan bahawa rundingan dengan AS akan membuahkan hasil… kepercayaan terhadap mereka adalah pada tahap sifar,” tegasnya. -AFP