
KABUL, 4 April – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, termasuk lapan sekeluarga, dalam kejadian gempa bumi yang melanda Afghanistan pada malam Jumaat, menurut pegawai kerajaan dan Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan pada Sabtu.
- Empat orang dilaporkan cedera akibat gempa, menurut pegawai.
- Lima rumah musnah dan 33 rosak sebahagian, menjejaskan kira-kira 40 keluarga di beberapa wilayah.
- USGS rekod gempa magnitud 5.8 pada kedalaman 186 km, pusat di Badakhshan; gegaran turut dirasai di Kabul.
Timbalan jurucakap kerajaan, Hamdullah Fitrat, memaklumkan menerusi platform X, empat lagi individu dilaporkan cedera akibat bencana tersebut.
Beliau turut memaklumkan lima buah rumah musnah, manakala 33 lagi mengalami kerosakan sebahagian
di beberapa wilayah termasuk Kabul, Panjshir, Logar, Nangarhar, Laghman dan Nuristan, melibatkan kira-kira 40 keluarga.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Sharafat Zaman, berkata lapan mangsa sekeluarga maut di kawasan Gosfand Dara, manakala, empat lagi mangsa terkorban di barat Kabul. Seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan menjadi satu-satunya mangsa yang terselamat, namun mengalami kecederaan.
Menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berukuran 5.8 magnitud itu berlaku pada pukul 8.42 malam waktu tempatan pada kedalaman 186 kilometer, dengan pusat gempa terletak di wilayah Badakhshan di timur laut negara itu.
Gegaran turut dirasai di pelbagai kawasan termasuk ibu negara Kabul, menurut laporan wartawan AFP.
Pada Ogos lalu, gempa bumi berukuran 6 magnitud telah memusnahkan kampung di kawasan pergunungan di timur Afghanistan dan mengorbankan lebih 2,200 nyawa, menjadikannya antara bencana paling tragis dalam sejarah negara itu.-AFP