
KAMPALA, 3 April — Empat kanak-kanak maut selepas ditikam dalam satu serangan di sebuah tadika di ibu negara Uganda, Kampala.
- Suspek menyamar sebagai ibu bapa dan menyerang tadika Ggaba dengan pisau.
- Sepuluh kanak-kanak lain terselamat dan diserahkan kepada ibu bapa; penduduk cuba membelasah suspek, keselamatan gunakan gas pemedih mata.
- Motif masih belum dikenalpasti dan siasatan lanjut dijalankan; Ketua Tentera menuntut hukuman mati terhadap suspek.
Mangsa merupakan tiga kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan yang berusia antara dua hingga tiga tahun.
Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an menyamar sebagai ibu bapa sebelum memasuki premis dan menyerang mangsa menggunakan pisau.
Serangan berlaku di Ggaba Early Childhood Development Program di daerah Makindye.
Seramai 10 kanak-kanak lain terselamat dan telah diserahkan kepada ibu bapa masing-masing.
Suspek sebelum ini pernah hadir ke tadika itu minggu lalu untuk urusan pendaftaran dan kembali semula pada hari kejadian.
Penduduk yang berang cuba membelasah suspek ketika dia cuba melarikan diri, namun pihak keselamatan melepaskan gas pemedih mata bagi mengawal keadaan sebelum menahannya.
Motif kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Tentera Uganda, Muhoozi Kainerugaba menyatakan pihaknya akan mendesak hukuman mati terhadap suspek. – AFP