
DUBAI, 19 Jun – Hab logistik kemanusiaan terbesar di dunia, Dubai Humanitarian, menaruh harapan tinggi agar perjanjian damai Iran dan Amerika Syarikat (AS) mampu menurunkan semula kos penghantaran bantuan yang melonjak tinggi susulan konflik di Asia Barat.
- MoU Iran-AS dijangka mengakhiri permusuhan dan membuka rundingan muktamad, memberi impak positif dalam tempoh singkat.
- Turunnya harga minyak dijangka mengurangkan kos insurans dan risiko penghantaran secara automatik.
- Konflik memaksa laluan alternatif, menyebabkan kelewatan dan penurunan penghantaran sekitar 30 hingga 35 peratus berbanding tahun lalu.
Pengarah Dubai Humanitarian, Giuseppe Saba berkata, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Tehran dan Washington yang menggariskan penamatan permusuhan serta pembukaan rundingan ke arah perjanjian muktamad dijangka memberi impak positif dalam tempoh singkat.
“Harga minyak kini menunjukkan trend penurunan. Saya percaya insurans risiko juga akan turun secara automatik susulan penghentian konflik ini.
“Kita perlu kekal yakin dan optimis bahawa dalam tempoh yang munasabah, kita akan kembali memperoleh rantaian bekalan yang lancar,” katanya kepada AFP pada Khamis.
Menurut Saba, pihaknya terpaksa meneroka laluan alternatif sepanjang tempoh konflik bagi memastikan bekalan bantuan ke Gaza, Lubnan, Syria dan Republik Demokratik Congo yang kini berdepan wabak Ebola, dapat diteruskan, namun mengakui terdapat kelewatan yang tidak dapat dielakkan.
“Daripada segi nilai bantuan kemanusiaan, kami mencatatkan penurunan penghantaran sekitar 30 hingga 35 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya lagi.
Dubai Humanitarian, yang mengendalikan ruang gudang seluas lebih 150,000 meter persegi, merupakan hab bantuan terbesar di dunia yang digunakan oleh puluhan agensi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyalurkan bantuan ke Asia Barat, Afrika dan Asia Tenggara.
Konflik antara AS-Israel dengan Iran sebelum ini telah menyebabkan penutupan Selat Hormuz, sekali gus mencetuskan lonjakan mendadak harga minyak mentah dan kos insurans pengangkutan yang memberi kesan langsung kepada operasi hab berkenaan.
Sementara itu, data daripada Program Makanan Sedunia (WFP) mendedahkan bahawa kos pengangkutan meningkat sekitar 20 peratus manakala tempoh penghantaran menjadi lebih lama sehingga beberapa minggu.
Isu logistik ini memburukkan lagi keadaan sektor kemanusiaan global yang sememangnya sedang bergelut dengan krisis pemotongan bajet yang drastik. -AFP