
BEIJING, 3 April – China memberi amaran supaya hak rakyat Palestin dihormati dan dilindungi susulan tindakan Israel meluluskan undang-undang membolehkan hukuman mati dikenakan ke atas rakyat Palestin.
- Mao Ning: undang-undang tidak boleh bersifat diskriminasi, mesti berteraskan prinsip keadilan dan kesaksamaan.
- China menggesa semua pihak menghentikan tindakan yang boleh memburukkan lagi ketegangan dan konflik.
- PBB menyifatkan pelaksanaan di wilayah Palestin diduduki berpotensi dianggap sebagai jenayah perang.
- Beberapa negara dan Kesatuan Eropah mengecam langkah itu; Amerika Syarikat menyokong kedaulatan Israel menentukan undang-undangnya.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, menegaskan sebarang undang-undang tidak boleh bersifat diskriminasi dan mesti berteraskan prinsip keadilan serta kesaksamaan.
Beliau turut menggesa semua pihak menghentikan tindakan yang boleh memburukkan lagi ketegangan dan konflik yang sedang memuncak.
Undang-undang yang diluluskan Parlimen Israel itu menetapkan hukuman mati sebagai hukuman mandatori terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang disabitkan kesalahan serangan maut diklasifikasikan sebagai keganasan.
Langkah itu mengundang kecaman antarabangsa, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan pelaksanaannya di wilayah Palestin yang diduduki berpotensi dianggap sebagai jenayah perang.
Selain itu, beberapa negara termasuk Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, Qatar, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu turut menyelar undang-undang tersebut sebagai tindakan berbahaya yang berisiko mencetuskan ketegangan lebih besar serta menggugat kestabilan serantau.
Kesatuan Eropah turut mengkritik langkah berkenaan, manakala Amerika Syarikat menyokong hak kedaulatan Israel untuk menentukan undang-undangnya sendiri.-AFP