
SYDNEY, 18 Mei – Australia mengarahkan beberapa pemegang saham yang mempunyai kaitan dengan China supaya menjual pegangan mereka dalam syarikat nadir bumi, Northern Minerals, atas alasan melindungi sektor strategik itu daripada pengaruh luar.
- Northern Minerals mencabar dominasi China dalam pengeluaran disprosium untuk magnet berprestasi tinggi kenderaan elektrik.
- Syarikat merujuk sendiri kes kepada Lembaga Semakan Pelaburan Asing Australia pada November 2025; kerajaan memantau perkembangan.
- Enam pemegang saham disenaraikan untuk pelupusan, beralamat di China, Hong Kong dan Kepulauan Virgin British.
- Perjanjian AS dan Australia tingkatkan akses kepada simpanan nadir bumi; Northern Minerals dilihat sebagai sumber alternatif penting.
Northern Minerals kini berusaha mencabar dominasi China dalam pengeluaran disprosium, iaitu mineral nadir bumi yang digunakan bagi menghasilkan magnet berprestasi tinggi untuk kenderaan elektrik.
Pelabur China sejak beberapa tahun kebelakangan ini dilaporkan cuba meningkatkan pegangan dalam syarikat berpangkalan di Australia itu, manakala Canberra sebelum ini turut menggunakan peraturan sama pada 2024 untuk menyingkirkan sekumpulan pemegang saham lain yang mempunyai kaitan dengan China.
Bimbang berlaku pengambilalihan secara tidak langsung, Northern Minerals merujuk syarikat itu sendiri kepada Lembaga Semakan Pelaburan Asing Australia pada November 2025 dan kerajaan terus memantau perkembangannya sejak itu.
Bendahari Australia, Jim Chalmers dalam satu kenyataan memaklumkan beberapa pemegang saham China akan dipaksa keluar daripada Northern Minerals.
“Kami melaksanakan rangka kerja pelaburan asing yang kukuh dan tidak bersifat diskriminasi serta akan mengambil tindakan lanjut jika perlu bagi melindungi kepentingan nasional dalam perkara ini,” menurut kenyataan itu.
Enam pemegang saham Northern Minerals disenaraikan dalam arahan pelupusan tersebut. Tiga daripada pemegang saham itu beralamat di China, dua di Hong Kong manakala seorang lagi di Kepulauan Virgin British.
Northern Minerals memaklumkan pihaknya sedang meneliti arahan pelupusan baharu itu dan akan mengumumkan perkembangan lanjut selepas proses berkenaan selesai.
Amerika Syarikat dan Australia sebelum ini menandatangani perjanjian pada Oktober tahun lalu bagi memperluas akses kepada simpanan nadir bumi dan mineral kritikal Australia.
Northern Minerals merupakan antara syarikat Australia yang diberi perhatian di bawah perjanjian tersebut yang menekankan kepentingan mempelbagaikan rantaian bekalan kritikal global.
China ketika ini menguasai sebahagian besar simpanan unsur nadir bumi dunia serta mempunyai pengaruh besar kerana hampir menjadi satu-satunya negara yang mampu menapis logam tersebut pada skala industri.
Negara pengeluar seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Korea Selatan kini giat mencari sumber alternatif.
Northern Minerals memiliki hak terhadap deposit disprosium yang besar di Browns Range, Australia Barat dan menyifatkan ia sebagai sumber alternatif yang boleh dipercayai berbanding pengeluaran dari China.
Menurut syarikat itu, hampir 99 peratus pengeluaran disprosium dunia ketika ini berasal dari China.
Dana berkaitan China, Yuxiao Fund, pernah cuba meningkatkan pegangan dalam Northern Minerals pada 2024, sekali gus menarik perhatian Lembaga Semakan Pelaburan Asing Australia.
Yuxiao Fund bersama empat pemegang saham berkaitan kemudian diberikan tempoh 60 hari untuk melupuskan kepentingan mereka dalam syarikat tersebut.
Sementara itu, Bursa Sekuriti Australia menggantung dagangan saham Northern Minerals pada pagi Isnin.- AFP