Banjir di Mexico: ‘Tiga hari tiga malam korek lumpur cari anak, cucu’

MEXICO CITY, 17 Oktober – Sekurang-kurangnya 70 mangsa disahkan terkorban dalam bencana banjir besar yang melanda beberapa negeri di Mexico.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekurang-kurangnya 70 mangsa maut, 72 masih hilang akibat banjir besar di beberapa negeri Mexico.
  • Kesan sisa lumpur, bangkai haiwan dan sampah mengancam kesihatan; risiko penyakit seperti denggi dan jangkitan kulit meningkat.
  • Penduduk kecewa dengan kelewatan bantuan kerajaan; tiada doktor hadir untuk rawatan segera.
  • Warga trauma mencari keluarga — seorang ibu mengorek lumpur tiga hari tiga malam mencari anak dan cucunya.

Manakala 72 lagi masih dilaporkan hilang, menurut pihak berkuasa tempatan.

Daripada jumlah itu, 30 kematian direkodkan di Veracruz, 21 di Hidalgo, 18 di Puebla, dan seorang di Queretaro.

Usaha mencari masih diteruskan walaupun beberapa mangsa sudah berjaya ditemui semula.

Keadaan di kawasan terjejas kini semakin membimbangkan apabila sisa lumpur, bangkai haiwan dan timbunan sampah mula mengancam kesihatan penduduk.

Salah seorang mangsa, Angel Leyva, meluahkan kekecewaannya terhadap kelewatan bantuan kerajaan.

“Bau busuk dari haiwan dan sampah makin teruk. Tiada doktor datang membantu kami. Selepas banjir, penyakit akan mula menular — denggi, zika, jangkitan kulit… kami perlukan bantuan segera, terutama untuk anak-anak kecil,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Cruz Hernandez, yang kehilangan ahli keluarga dalam tragedi itu, turut merayu supaya kerajaan mempercepatkan bantuan kepada penduduk yang masih mencari waris mereka.

“Saya seorang ibu, dan saya faham perasaan kehilangan. Saya habiskan tiga hari tiga malam mengorek lumpur mencari anak dan cucu saya,” katanya sebak.

Banjir besar itu dilaporkan berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak minggu lalu yang menyebabkan sungai melimpah dan menenggelamkan ratusan rumah di beberapa kawasan pedalaman negara itu. – REUTERS