
TEHRAN, 4 April – Jumlah kematian akibat serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas sebuah jambatan di wilayah Alborz, utara Iran meningkat kepada 13 orang.
- Jambatan penghubung Tehran-Karaj, masih dalam pembinaan, dimusnahkan dalam dua gelombang serangan peluru berpandu.
- Pegawai Iran menegaskan ia bukan sasaran ketenteraan, dibina untuk kegunaan awam dan dijangka siap dalam dua bulan untuk kurangkan kesesakan.
- Serangan ke atas infrastruktur awam semakin meluas termasuk sekolah, universiti dan jambatan, Iran membalas dengan serangan ke atas Israel dan aset Amerika Syarikat.
Jambatan itu merupakan laluan utama yang menghubungkan Tehran dan Karaj serta masih dalam pembinaan ketika dimusnahkan dalam serangan pada Khamis lalu.
Agensi berita rasmi Islamic Republic News Agency (IRNA) melaporkan, jambatan berkenaan yang merupakan antara yang tertinggi di Asia Barat serta projek kompleks di Iran, disasarkan dalam dua gelombang serangan peluru berpandu.
Pegawai Iran menegaskan jambatan tersebut belum beroperasi dan tidak pernah digunakan untuk tujuan ketenteraan. Ia dibina untuk kegunaan awam.
Timbalan Menteri Jalan Raya dan Pembangunan Bandar Iran, Houshang Bazvand, berkata projek itu sepatutnya siap dalam tempoh dua bulan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di 17 wilayah di barat laut Iran.
“Projek ini tidak mempunyai kaitan dengan ketenteraan. Ia dibina untuk kesejahteraan rakyat, namun tetap menjadi sasaran serangan,” katanya.
Dalam insiden serangan itu, seramai 95 orang dilaporkan cedera. Serangan berlaku ketika sambutan Nature Day, dengan kebanyakan rakyat keluar beriadah, sekali gus meningkatkan jumlah mangsa.
Serangan ke atas infrastruktur awam di Iran semakin meluas, termasuk sekolah, universiti dan jambatan, ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran loji janakuasa menjadi sasaran seterusnya.
Pada 28 Februari lalu, Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan bersama ke atas Tehran serta beberapa bandar lain di Iran, mengorbankan pemimpin tertinggi Iran ketika itu, Ali Khamenei, selain komander kanan tentera dan orang awam.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan gelombang serangan yang menyasarkan Israel serta aset Amerika Syarikat di Asia Barat.-REUTERS