
WASHINGTON, 24 Februari– Amerika Syarikat (AS) mengarahkan kakitangan bukan petugas utama meninggalkan kedutaannya di Beirut susulan peningkatan ketegangan serantau ketika Presiden Donald Trump mengancam tindakan ketenteraan terhadap Iran.
- AS arahkan kakitangan bukan petugas utama tinggalkan kedutaan di Beirut untuk keselamatan berikutan peningkatan ketegangan serantau.
- Langkah sementara mengekalkan operasi penting kedutaan, dengan kehadiran dikurangkan hanya kepada kakitangan kritikal.
- Langkah itu berlaku sementara Washington tingkatkan kehadiran ketenteraan kerana tekanan diplomasi dan ancaman terhadap Iran.
Menurut seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS, langkah itu bersifat sementara.
Ia sebagai langkah keselamatan kakitangan tanpa menjejaskan operasi utama kedutaan.
“Kami sentiasa menilai situasi keselamatan semasa. Berdasarkan penilaian terkini, adalah wajar untuk mengehadkan kehadiran kepada kakitangan penting sahaja,” katanya tanpa mendedahkan identiti.
Sementara itu sumber keselamatan Lubnan kepada AFP memaklumkan kira-kira 40 kakitangan kedutaan berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut pada Isnin.
Dilaporkan, arahan meninggalkan Beirut terpakai kepada kakitangan bukan dalam sektor kritikal dan ahli keluarga mereka, bagaimanapun kedutaan akan kekal dibuka.
Tindakan itu dibuat ketika Washington meningkatkan kehadiran ketenteraan di rantau Asia Barat, dengan Trump menegaskan Iran perlu menerima satu perjanjian tegas berkaitan program nuklearnya atau berdepan kemungkinan serangan.
Iran menjangkakan rundingan dengan AS pada Khamis merupakan diplomasi terakhir untuk meredakan ketegangan. -AFP.