876 penduduk terjejas banjir di Ecuador

Seorang lelaki meredah banjir susulan hujan lebat di utara Guayaquil, Ecuador/Foto AFP

MACHALA (Ecuador), 27 Oktober – Hujan lebat sejak hujung minggu lalu menyebabkan banjir di puluhan kawasan kejiranan di Machala, wilayah El Oro, di selatan Ecuador.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seramai 876 penduduk terjejas dan 438 keluarga kehilangan tempat tinggal selamat.
  • 160 penduduk ditempatkan di pusat perlindungan sementara.
  • Terusan El Macho dan La Puentecita melimpah, menenggelamkan kediaman; seorang lelaki dilaporkan hilang dan sedang dicari.
  • Penduduk gesa sistem saliran lebih baik; Ecuador dalam amaran merah El Niño dan ramalan hujan lebat berterusan.

Seramai 876 penduduk terjejas, manakala 438 keluarga kehilangan tempat tinggal yang selamat didiami.

Menurut Sekretariat Pengurusan Risiko Kebangsaan Ecuador, 160 penduduk kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

Hujan lebat pada malam Sabtu dan Ahad menyebabkan Terusan El Macho dan La Puentecita melimpah, sekali gus menenggelamkan kediaman penduduk.

Sementara itu, pasukan bomba sedang mencari seorang lelaki berusia antara 25 hingga 30 tahun yang dilaporkan hilang di Terusan El Macho, di utara bandar itu, pada Isnin.

Rakannya, Jaime Salvador, berkata kejadian itu berlaku ketika air terusan melimpah akibat hujan lebat.

Penduduk menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dengan menyediakan sistem saliran yang lebih baik bagi mengelakkan banjir berulang.

Ecuador kini berada dalam status amaran merah susulan fenomena El Niño sejak 29 Ogos lalu.

Institut Meteorologi dan Hidrologi Kebangsaan Ecuador meramalkan hujan lebat akan terus melanda kawasan pantai negara itu berikutan fenomena berkenaan yang memasuki fasa paling intensif. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.