22 kelasi Iran dibenar keluar hospital, 10 masih dirawat

Foto AFP

COLOMBO, 8 Mac – 22 kelasi Iran yang dirawat di Hospital Karapitiya, dibenarkan keluar pada Sabtu manakala 10 lagi masih menjalani rawatan, menurut pegawai perubatan hospital berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • IRIS Dena dilaporkan karam selepas dibedil torpedo Amerika Syarikat; 84 mayat warga Iran ditemui di Lautan Hindi dan dibawa ke hospital.
  • Sri Lanka memberi perlindungan sementara kepada 219 kelasi IRIS Bushehr dan memindahkan mereka ke kem Tentera Laut Welisara.
  • India benarkan kapal IRIS Lavan berlabuh atas dasar kemanusiaan selepas masalah enjin; ketiga-tiga kapal terlibat dalam latihan di Teluk Benggala.

Mereka antara yang diselamatkan pihak berkuasa Sri Lanka selepas kapal tentera laut Iran, IRIS Dena dilaporkan karam pada Rabu selepas dibedil torpedo Amerika Syarikat di perairan antarabangsa, kira-kira 40 kilometer dari pantai Galle.

Pegawai perubatan itu turut memberitahu yang mayat 84 warga Iran yang ditemui di Lautan Hindi juga berada di hospital sama.

Pihak berkuasa Sri Lanka berkata mangsa yang terselamat daripada kejadian tersebut sedang diuruskan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Sri Lanka turut memberi perlindungan sementara kepada 219 lagi kelasi Iran dari kapal kedua, IRIS Bushehr.

Kelasi Bushehr telah dipindahkan ke kem Tentera Laut Sri Lanka di Welisara, di utara ibu negara Colombo.

Sri Lanka mengumumkan kapal itu akan dibawa ke pelabuhan Trincomalee di timur laut, namun kegagalan enjin serta isu teknikal dan pentadbiran lain telah melambatkan pergerakan tersebut, kata jurucakap tentera laut.

Colombo menafikan dakwaan negara itu berada di bawah tekanan Washington supaya tidak membenarkan rakyat Iran pulang ke negara mereka.

Sebaliknya negara tersebut menegaskan hanya akan berpandukan undang-undang antarabangsa serta perundangan domestiknya sendiri.

Sementara itu, India pada Sabtu berkata negara itu telah membenarkan sebuah lagi kapal Iran, IRIS Lavan, berlabuh di salah satu pelabuhannya atas dasar ‘kemanusiaan’ selepas kapal berkenaan turut melaporkan masalah enjin.

Ketiga-tiga kapal tersebut merupakan sebahagian daripada armada pelbagai negara yang menyertai latihan anjuran India di Teluk Benggala. – AFP