Tibi kembali meningkat: Ujian kepada generasi petugas kesihatan baharu

Gambar hiasan janaan AI

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan kes tibi yang signifikan memerlukan perhatian serius dari sistem kesihatan dan pendidikan perubatan.
  • Pendidikan mesti memfokuskan pada taakulan klinikal untuk mengesan kes tibi "hilang" dan kumpulan berisiko.
  • Kemahiran komunikasi, kaunseling dan penjagaan berpusatkan manusia penting untuk mengurangkan stigma dan memastikankepatuhan rawatan.
  • Latihan klinikal perlu memberi pendedahan praktikal mencukupi supaya graduan bersedia menangani cabaran tibi masa depan.

Beberapa minggu kebelakangan ini, laporan mengenai peningkatan kes penyakit tuberkulosis (tibi) kembali menghiasi media arus perdana.

Bagi sesetengah orang, ia mungkin terasa seperti berita lama yang diulang semula, iaitu penyakit yang sering dikaitkan dengan zaman dahulu sebelum wujudnya antibiotik moden.

Namun hakikatnya, tibi bukan sekadar tinggalan sejarah perubatan. Ia masih wujud, masih menular, dan kini menuntut perhatian yang sangat serius daripada kita semua.

Data terkini sehingga Minggu Epidemiologi ke-6 (21 Februari 2026) mencatatkan jumlah kumulatif sebanyak 3,161 kes baharu di seluruh negara. Angka ini mewakili peningkatan sebanyak 9.8 peratus atau tambahan 229 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025.

Dengan kadar insiden mencecah 7.5 bagi setiap 100,000 penduduk, lonjakan ini adalah amaran yang tidak boleh dipandang remeh.

Sabah mencatatkan beban tertinggi dengan 755 kes, diikuti Selangor dengan 596 kes. Malah, kewujudan kluster aktif seperti di Kota Tinggi yang mencatatkan 33 kes positif daripada 804 kontak rapat membuktikan kuman ini sedang bergerak aktif dalam komuniti kita.

Di sebalik angka-angka ini, muncul satu persoalan strategik: siapakah yang akan merawat pesakit-pesakit ini dalam sepuluh tahun akan datang? Anak-anak muda yang kini mengikuti pengajian perubatan dan sains kesihatanlah yang bakal memikul tanggungjawab tersebut.

Maka, persoalannya bukan sekadar bagaimana kita merawat tibi hari ini, tetapi bagaimana kita mendidik generasi kesihatan untuk berdepan realiti tibi esok.

Dalam bilik kuliah, tibi sering diajar sebagai topik mikrobiologi yang teknikal. Pelajar menghafal tentang kuman Mycobacterium tuberculosis dan cara penularannya melalui titisan udara.

Namun, dunia sebenar jauh lebih kompleks. Dianggarkan terdapat sekitar 4,000 hingga 5,000 kes tibi “hilang” atau tidak didiagnosis setiap tahun di Malaysia akibat kekangan akses, kurangnya pengetahuan, dan tembok persepsi masyarakat.

Di sinilah pentingnya pendekatan pendidikan yang menekankan taakulan klinikal (clinical reasoning) yang tajam. Pelajar perlu dilatih menjadi ‘penyiasat’ yang bijak mengaitkan simptom yang tidak dramatik dengan konteks risiko sosial pesakit.

Tanpa kepekaan ini, kes tibi dalam kalangan kumpulan berisiko seperti pesakit diabetes, penghidap HIV, atau perokok mungkin terus terlepas pandang.

Kita perlu mengintegrasikan bengkel interpretasi X-ray dan modul pengurusan jangkitan tibi terpendam (Latent Tibi) lebih awal dalam kurikulum bagi memastikan mereka berani mencurigai tibi walaupun simptomnya kelihatan biasa.

Sebagai pendidik perubatan, kami sering menekankan bahawa tibi bukan sekadar imej X-ray yang menunjukkan kerosakan paru-paru. Ia adalah cerita tentang individu dan keluarga. Cabaran terbesar di lapangan hari ini bukan sahaja kuman yang kebal ubat (drug-resistant tibi [DR-Tibi]), tetapi juga rintangan emosi pesakit.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini telah memperkenalkan rejimen rawatan yang lebih pendek dan sepenuhnya secara oral bagi kes tibi kebal ubat. Namun, kemajuan ini tidak akan bermakna jika pesakit menghentikan rawatan separuh jalan kerana rasa malu atau stigma masyarakat.

Oleh itu, pendidikan kesihatan tidak boleh hanya menekankan aspek teknikal tanpa membina sensitiviti sosial. Kita perlu melahirkan profesional yang bukan sahaja cekap mendiagnosis, tetapi juga mempunyai kemahiran komunikasi dan kaunseling yang mendalam.

Latihan perubatan sekarang mesti mempersiapkan pelajar dengan kemahiran “penjagaan berpusatkan manusia” (people-centered care), di mana mereka mampu membimbing pesakit melalui tempoh rawatan yang panjang dengan penuh empati.

Generasi pelajar hari ini dibentuk oleh pengalaman pandemik COVID-19. Namun, terdapat kecenderungan pasca-pandemik untuk hanya melihat ancaman kesihatan melalui lensa krisis yang mendadak.

Tibi bergerak secara lebih senyap, perlahan tetapi konsisten. Kluster institusi di tempat kerja, penjara, dan pusat jagaan kini menjadi pemacu utama jangkitan di luar persekitaran keluarga.

Pelajar dalam aliran kesihatan harus melihat diri mereka sebagai agen perubahan dalam masyarakat. Mereka perlu memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran awam dan mengurangkan stigma melalui kempen advokasi.

Peningkatan kes tibi juga seharusnya mendorong kita menilai semula pendedahan pelajar kepada kes sebenar dalam latihan klinikal.

Kita tidak boleh membiarkan protokol keselamatan mengehadkan pengalaman praktikal mereka sehingga mereka kurang yakin menguruskan kes selepas tamat pengajian.

Peningkatan kes tibi hari ini sepatutnya menjadi amaran bahawa sistem kesihatan bukan hanya bergantung kepada teknologi terkini. Ia bergantung kepada sejauh mana kita mempersiapkan generasi profesional kesihatan dengan pengetahuan dan nilai yang seimbang.

Pengawalan tibi jangka panjang memerlukan pendidikan yang melahirkan tenaga kerja yang berfikir kritis, berkomunikasi dengan berkesan, dan memahami realiti sosial pesakit.

Apabila kita membaca statistik kes tibi yang meningkat, janganlah kita hanya bertanya tentang bekalan ubat.

Kita perlu bertanya: adakah bakal doktor dan petugas kesihatan kita benar-benar bersedia? Jawapan kepada soalan ini akan menentukan bukan sahaja masa depan rawatan tibi, tetapi juga tahap keyakinan masyarakat terhadap sistem kesihatan negara kita.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah
Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Prof. Madya Dr Nadia Atiya
Pensyarah Perubatan
Pakar Perunding Kanan Mikrobiologi Perubatan dan Penyelaras Bersama
Unit Diagnostik Mikobakteriologi
Pusat Perubatan Universiti Malaya
Universiti Malaya