SAUDARA PENGARANG
Sedar tidak sedar, penceritaan digital dengan mantap, beransur-ansur menghiasi taman pendidikan negara kita. Para pelajar kini belajar bukan sahaja melalui pendengaran, tetapi belajar melalui penciptaan, suara latar, visual, cerita atau kisah untuk memahami sesuatu topik dalam kelas, sama ada pelajar di sekolah-sekolah rendah mahu pun di institusi-institusi pendidikan tinggi.
Pada asalnya, pendekatan ini bermula dengan usaha uji kaji bagi menjana persekitaran bilik darjah yang lebih kreatif. Tidak disangka, ia berkembang menjadi satu kaedah pedagogi yang hebat kerana seni penyampaian kaedah baharu itu mampu mempersembahkan maklumat rumit yang sukar untuk difahami, bahkan pada masa sama boleh menghiburkan para penontonnya.
Penceritaan digital atau dalam bahasa inggeris dipanggil “Digital Storytelling (DST)” boleh didefinisikan sebagai satu kaedah hasil gabungan teknik penceritaan dan aplikasi digital seperti gambar, audio, video, animasi, grafik dan teks bagi tujuan memberitahu sesuatu cerita.
Kombinasi ini menjadikan para pelajar lebih aktif dalam proses pembelajaran, bukan sekadar pengguna ilmu pengetahuan yang mereka pelajari, malah sebagai pencipta untuk menjana kisah-kisah menarik yang mampu mencerminkan kefahaman, identiti dan suara mereka sendiri.
Lebih daripada Kisah Penceritaan
Penceritaan digital boleh diterjemahkan juga sebagai satu kemahiran seni dalam menghasilkan kisah multimedia yang pendek, selalunya merangkumi cerita, muzik, gambar dan video. Para pendidik di Malaysia, bahkan seluruh dunia mengakui potensi pendekatan itu dalam meningkatkan komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan kreativiti. Semua kemahiran itu sangat diperlukan oleh para pelajar dalam mengharungi dunia pendidikan abad ke-21.
Penyelidikan terhadap penceritaan digital dalam pembelajaran di negara kita telah membuktikan hasil yang memberangsangkan. Pada awal tahun ini, satu kajian diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan Sains dan Matematik Malaysia berkenaan penceritaan digital untuk meningkatkan kemahiran numerasi yang berfokuskan kepada nombor dalam lingkungan 1000.
Seramai 35 orang murid darjah dua telah menyertai kajian tersebut. Dapatan mendedahkan bahawa berlaku perubahan besar dalam markah purata ujian. Markah melonjak naik daripada 44.11 kepada 65.17 selepas responden belajar konsep nombor dan prosedural melalui kisah digital. Kenaikan sebanyak 21 markah dalam pembelajaran Matematik boleh dianggap sebagai mengagumkan dan bermakna kepada para pendidik terlibat.
Sebagai contoh, di selatan tanah air, Pasir Gudang, Johor, sekumpulan guru Bahasa Tamil yang mengajar murid-murid darjah dua melaporkan bahawa para murid yang menggunakan modul penceritaan digital merekodkan peningkatan dari segi elemen kefahaman, pembendaharaan kata dan kelancaran dalam kemahiran bertutur.
Selain itu, pembelajaran kesusasteraan Bahasa Inggeris di sekolah menengah turut mengetengahkan penceritaan digital bagi meningkatkan pemahaman pelajar dalam puisi berkenaan perang. Hasilnya, pelajar menjadi semakin aktif dalam kelas dan lebih memahami akan konsep dan bentuk kesusasteraan. Dalam aktiviti penulisan e-mel, mereka berasa lebih yakin menulis dengan perkataan Bahasa Inggeris dan berasa seronok apabila mereka boleh menggunakan kreativiti masing-masing dalam memberi pendapat peribadi.
Dari Bilik Darjah ke Dunia Nyata
Di sebalik potensinya yang istimewa, penceritaan digital sebenarnya mempromosikan satu kesempatan yang bukan senang diperolehi oleh kebanyakan pelajar di Malaysia, terutamanya yang berada di institusi-institusi awam, iaitu peluang untuk dilihat dan didengari serta kesempatan untuk menonjolkan bakat diri.
Contohnya, pelajar-pelajar sarjana muda di Universiti Malaysia Terengganu yang menyiapkan projek penceritaan digital berkenaan pengurusan warisan seni dan budaya di Malaysia. Hasilnya, mereka bukan sahaja terlibat aktif dengan kerja-kerja penyelidikan, bahkan kemahiran komunikasi mereka menunjukkan peningkatan dan mereka didapati lebih mengetahui dan menghargai identiti budaya bangsa sendiri.
Dalam subjek Bahasa Inggeris, pelajar-pelajar di negeri Bawah Bayu, Sabah juga menunjukkan kemajuan dalam kefahaman membaca, pemikiran kritis dan tahap kreativiti selepas mengubah kisah novel kepada penceritaan digital dalam kerja kumpulan mereka.
Ada yang menyatakan bahawa projek penceritaan digital ini membantu mereka memahami cerita novel tersebut dengan lebih baik. Ada juga yang menyatakan bahawa proses menganalisa kisah novel dapat meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis selain bersetuju bahawa projek penceritaan digital ini menarik dan interaktif.
Persepsi Global dan Tempatan
Walaupun secara beransur-ansur, penceritaan digital kelihatan semakin mendapat tempat dalam dunia Pendidikan, pakar pendidikan dari New York City, Amerika Syarikat, Marc Prensky yang mencipta istilah “kaum digital” atau dalam Bahasa Inggerisnya “digital natives” menjelaskan bahawa untuk menjana pengajaran yang berkesan dalam arus kemodenan semasa, ia memerlukan gabungan antara nilai-nilai tradisional dan aplikasi atau media terbaharu.
Dalam era kata lain, penceritaan digital merupakan gabungan antara kaedah pengajaran dahulu dan teknologi digital sekarang. Justeru, sudah tiba masanya, para pentadbir dan pendidik menyemak semula dan mengguna pakai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkesan pada masa kini.
Selain itu, pakar dalam bidang media, Profesor David Gauntlett dari Bumi Ratu Britain turut menyokong pandangan Marc Prensky. Dalam buku beliau bertajuk “Making is Connecting: The Social Meaning of Creativity, from DIY and knitting to YouTube and Web 2.0”, beliau menekankan bahawa budaya media kontemporari sedang berubah, iaitu daripada penggunaan pasif kepada penghasilan aktif di mana kreativiti, kolaborasi, penciptaan identiti dan hubungan sosial merupakan empat tonggak utama dalam evolusi media dewasa ini.
Di Malaysia, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan tujuh domain atau teras dalam kerangka Kurikulum Persekolahan 2027, iaitu perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat. Justeru, penceritaan digital dilihat selari dengan penekanan kurikulum terbaru di mana kaedah ini memberi jalan atau idea untuk menajamkan kemahiran, lebih daripada duduk belajar dalam kelas dan menduduki peperiksaan.
Ada Lagi Perlu Ditempuh
Di sebalik pencapaian dikongsikan, masih ada cabaran yang perlu diatasi dalam mengetengahkan penceritaan digital supaya boleh digunakan oleh semua pelajar dan pendidik. Antaranya ialah jurang kemudahan yang masih menjadi salah satu isu berterusan, terutamanya di kawasan luar bandar dan komuniti yang kekurangan perkhidmatan. Seperti kita sedia maklum, bukan semua sekolah di Malaysia mempunyai capaian Internet dan peralatan yang baik dan mencukupi untuk membantu penghasilan projek multimedia.
Selain itu, masa juga merupakan halangan dalam pelaksanaan penceritaan digital di sekolah. Saban tahun, guru-guru diingatkan untuk menyampaikan atau mengajar ke semua silibus ditetapkan, bermakna jadual pengajaran di sekolah telah ditentukan termasuk kandungan yang perlu diajar.
Situasi ini menyebabkan para guru berasa susah atau berdepan kekangan untuk mengaplikasikan kaedah baharu dalam rutin pengajaran mereka. Sesetengah guru juga berasa kurang yakin dalam menggunakan perisian suntingan audio dan video, apatah lagi apabila mereka tidak dibekalkan dengan latihan teknologi digital yang mencukupi.
Perancangan Kini dan Masa Depan
Justeru, pakar mencadangkan beberapa strategi untuk merealisasikan pelaksanaan penceritaan digital sepenuhnya dalam pendidikan di Malaysia, antaranya adalah seperti berikut:-
- Latihan kepada para guru: Pembangunan profesional amat diperlukan oleh para pendidik untuk menggabungkan teknologi dan strategi pedagogi dalam melaksanakan kaedah penceritaan digital.
- Integrasi dalam kurikulum: Penceritaan digital boleh dimasukkan dalam subjek-subjek seperti bahasa, sejarah, sains dan matematik di mana ia dapat menjadikan konsep yang bersifat abstrak lebih jelas untuk difahami dan dikuasai.
• Sokongan kemudahan: Bagi memastikan semua pelajar terlibat dalam penceritaan digital, sekolah-sekolah diberi capaian kepada peralatan atau alat multimedia yang asas seperti tablet dan aplikasi suntingan. - Pentaksiran alternatif: Penceritaan digital boleh dijadikan salah satu pentaksiran dan rubriknya boleh dibentuk untuk menilai kefahaman tentang isi kandungan, kreativiti, komunikasi dan kerjasama di mana komponen-komponen ini dapat membentuk gambaran holistik terhadap tahap penguasaan pembelajaran.
Berdasarkan dapatan penyelidikan, projek-projek rintis penceritaan digital di beberapa tempat di Malaysia membuktikan kemampuan pendekatan tersebut. Hasil sokongan berterusan daripada pihak-pihak terlibat dalam pendidikan negara kita, penceritaan digital boleh dijadikan satu kaedah utama pembelajaran dalam bilik darjah pada abad ke-21.
Cerita Baharu Pendidikan Negara
Penceritaan digital ternyata, buka sahaja memperkasa pelajar untuk meneroka dunia sekeliling mereka, malah dalam diri mereka sendiri. Ia terbukti bukan sekadar aktiviti yang kreatif, bahkan boleh mendorong empati, memupuk identiti dan membuatkan sesuatu sesi pembelajaran itu bermakna.
Ada pendapat mengatakan, apabila pelajar-pelajar menulis dan bercerita kisah mereka sendiri, mereka bukan sahaja belajar tatabahasa atau struktur karangan, bahkan sebenarnya mereka belajar tentang diri mereka sendiri, tentang bakat dan kekuatan sendiri.
Secara kesimpulan, bagi negara kita Malaysia, pelaburan dalam pelaksanaan penceritaan digital di sekolah-sekolah bukan setakat untuk mengikut trend pendidikan semasa mahu pun global. Ia sebenarnya satu bentuk penghormatan kepada suara anak-anak muda dan persiapan masa depan mereka di mana komunikasi, kreativiti dan pemikiran kritis merupakan kunci kepada kejayaan pada abad ke-21.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nor Nazrina Mohamad Nazry
Pensyarah Kanan
Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
e-mel: nazrina@um.edu.my