Pemerkasaan pendidikan manusiawi tuntut sokongan menyeluruh

Foto hiasan/BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemerkasaan pendidikan manusiawi menekankan keadilan sosial dan hak setiap murid untuk akses pendidikan tanpa pengecualian.
  • KPM melaksanakan inisiatif praktikal: kurikulum prasekolah, pembukaan sekolah baharu, naik taraf sekolah daif.
  • Perlunya sokongan menyeluruh masyarakat—pakar, guru, ibu bapa, NGO—bagi kejayaan reformasi pendidikan.
  • KPM digalak menerima maklum balas pakar dan mengkaji semula sistem peperiksaan untuk penambahbaikan berterusan.

Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bertemakan ‘Nyala Tekad’ digariskan sebagai inisiatif yang menuntut setiap perancangan memberi impak nyata kepada murid khususnya golongan rentan yang sering berdepan cabaran akses pendidikan.

Menurut Fadhlina, tahun 2026 bukan sekadar tahun untuk mengejar angka pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya menjadi tahun kritikal bagi menterjemahkan agenda keadilan sosial dalam pendidikan agar tiada seorang pun anak bangsa yang terpinggir daripada arus perdana.

Untuk mencapai agenda ini, naratif pendidikan negara kini dipetakan untuk beralih kepada pemerkasaan pendidikan manusiawi yang menjamin hak setiap murid untuk belajar bermula daripada peringkat prasekolah hingga ke sekolah menengah tanpa kompromi.

Justeru slogan ‘Tahun Ini, Tahun Kita’ diangkat sebagai iltizam dan komitmen untuk mencapai 11 inisiatif yang ditetapkan bagi tahun 2026. Antaranya ialah, pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026 yang menjadi langkah awal sebelum pengenalan Kurikulum Persekolahan 2027, dengan penekanan kepada pengurusan diri, teknologi digital, dan pembentukan karakter.

Turut disenaraikan, operasi 17 sekolah baharu melibatkan pembukaan dua sekolah rendah dan 15 sekolah menengah bagi menangani isu sekolah padat, naik taraf 50 sekolah daif sebagai usaha berterusan untuk memastikan murid belajar dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif, penempatan 564 Pembantu Guru (MyPG) untuk mengurangkan beban tugas guru, serta pelantikan Pembantu Warden Asrama (MyPWA) seramai 600 orang untuk kesejahteraan murid di asrama.

Ironinya, KPM antara kementerian yang sering menarik perhatian rakyat kerana membabitkan soal kemenjadian masa depan generasi negara. Justeru apa saja keputusan yang dibuat dan inisiatif yang diperkenalkan akan mengundang pelbagai reaksi baik dari kalangan pakar, ahli politik mahupun ibu bapa.

Jujurnya bukan mudah untuk menguruskan sekolah, murid dan guru, khususnya dalam memenuhi harapan negara dan ibu bapa sambil menjaga dan memelihara kebajikan para guru. Justeru kita perlu berlaku adil kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran yang getir, selain tuntutan yang pelbagai. Ringkasnya, tidak mungkin kita dapat memuaskan hati semua orang.

Maka apa yang penting ialah kita perlu rasional dalam menilai semua inisiatif yang diperkenalkan dan memberi peluang kepada pihak KPM untuk melaksanakan semua yang dirancang dengan cekap dan efektif. Pertimbangan kita perlu fokus kepada cadangan inisiatif, impak yang disasarkan serta pendekatan dan kaedah pelaksanaan supaya dapat menilai secara objektif, adil dan profesional.

Harus diingat, gangguan dalam bentuk persepsi negatif, tuduhan liar dan desakan serta tuntutan yang melampau dan tidak wajar hanya akan merencatkan segala perancangan baik yang hendak dilaksanakan. Ini pada akhirnya akan merugikan masa depan anak-anak kita.

Oleh itu, iltizam ke arah pemerkasaan pendidikan manusiawi menuntut reformasi menyeluruh yakni semua komponen anggota masyarakat yang terlibat dalam ekosistem pendidikan negara perlu memberikan sokongan kepada pihak KPM supaya mereka dapat mencapai sasaran ditetapkan tanpa sebarang gangguan. Jika ada kekurangan atau kelemahan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama membantu memperbaikinya dan bukan sekadar melontarkan kritikan semata-mata.

Golongan pakar pendidikan misalnya boleh terus memberikan cadangan bernas melalui pelbagai saluran yang disediakan sebagai usaha penambahbaikan berterusan. Penulis yakin pihak KPM sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan cadangan dari pakar demi meningkatkan martabat dan kualiti sistem pendidikan negara.

Sikap terbuka menteri dan KPM juga terbukti apabila bersetuju untuk mengkaji semula sistem peperiksaan negara termasuk UPSR dan PT3 susulan polemik yang timbul, dengan melibatkan pandangan pakar pendidikan dan data yang relevan sebelum sebarang keputusan dibuat. Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) telah diberikan tanggungjawab melaksanakan kajian dan membentangkan hasil dapatannya kelak.

Guru sebagai komponen penting dalam ekosistem pendidikan juga wajar memahami segala inisiatif yang dilakukan oleh KPM khususnya langkah untuk mengurangkan beban guru seperti pelantikan Pembantu Guru dan pemansuhkan Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPL KPM).

Justeru diharap guru akan menggunakan masa yang ada sebaik mungkin untuk memberikan tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Ini akan memberi manfaat langsung yang besar kepada kemajuan akademik dan sahsiah pelajar.

Selain itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO) berpaksikan pendidikan perlu terus memainkan peranan semak dan imbang yang efektif sebagai penyokong utama agenda reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan oleh KPM.

Secara umumnya, umpama berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, tanggungjawab KPM cukup besar dan ianya tidak mungkin dapat dipikul tanpa sokongan padu semua lapisan anggota masyarakat. Jika kita mahukan reformasi yang menyeluruh, maka semua pihak perlu menolak segala perbezaan pandangan dan kepentingan peribadi demi masa depan generai akan datang.

Ironinya, anggota masyarakat peru berlapang dada dan menjadikan roh dan matlamat suci pendidikan sebagai keutamaan bersama supaya ekosistem pendidikan negara mampu melahirkan insan seimbang dan holistik yang berkembang secara menyeluruh daripada aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani, bukan sekadar mengejar pencapaian akademik tanpa arah hidup dan nilai insani yang sewajarnya.

Semoga tahun 2026 ini benar-benar menjadi ‘Tahun Kita’ yang menyalakan rasa dan tekad untuk memacu kegemilangan sektor pendidikan negara demi mencapai misi melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi Negara Madani.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
YDP PIBG, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang
e-mel: nmohd77@upm.edu.my