Bencana Aceh: Badai belum surut, ombak terus mengganas

Foto fail/REUTERS

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Krisis banjir meluas di Sumatra akibat gabungan perubahan iklim dan campur tangan manusia, menyebabkan kemusnahan besar pada infrastruktur dan penduduk.
  • Penggondolan hutan, perlombongan dan ladang sawit sejak dekad 1970-an melemahkan fungsi semula jadi hutan, mempercepat tanah runtuh dan banjir lumpur.
  • Hubungan pengusaha swasta dengan elit politik dan penguatkuasaan lemah membolehkan permit berisiko tinggi terus dikeluarkan tanpa pemulihan hutan.

Alam tidak pernah memilih untuk membinasakan manusia. Setiap musibah yang berlaku adalah hasil pertembungan antara dinamika alam dan pilihan manusia sendiri. Bumi dicipta sebagai ruang kehidupan yang seimbang, membekalkan udara, air, tanah, flora, fauna dan khazanah semula jadi untuk diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya. Namun keseimbangan ini hanya kekal jika dihormati.

Hakikatnya, alam bersifat dinamik dan sentiasa bergerak mengikut hukum semesta. Setiap perubahan akan menghasilkan keseimbangan baharu. Masalah timbul apabila ekosistem ini dicabar secara berlebihan. Dalam peradaban moden, tuntutan pertumbuhan ekonomi telah merombak landskap alam secara agresif.

Pembangunan tidak terkawal, pertanian berskala besar, perlombongan, perikanan, pembuangan sisa berbahaya termasuk bahan kimia dan radioaktif, serta inovasi teknologi yang mengabaikan kelestarian telah mengganggu sistem semula jadi. Fenomena pemanasan global pula mempercepatkan kerosakan ini.

Gabungan perubahan iklim dan campur tangan manusia menjadikan bencana alam semakin dahsyat. Inilah realiti yang sedang dihadapi Sumatra. Krisis banjir di tiga provinsi iaitu Aceh, Sumatra Utara dan Sumatra Barat bukan sekadar bencana bermusim, tetapi krisis ekologi berskala besar, malah lebih rumit berbanding tragedi Tsunami 2004.

hingga 20 Disember 2025, bencana ini telah mengorbankan 1,559 nyawa, dengan 192 orang masih dilaporkan hilang. Seramai 1,054,952 penduduk terjejas. Infrastruktur awam lumpuh apabila lebih 2,100 kilometer jalan rosak, 975 sekolah dan 562 madrasah musnah, selain 308 pusat kesihatan dan 147,236 rumah. Sebanyak 127 batang sungai turut terjejas.

Berbeza dengan tsunami yang memusnahkan kawasan pantai, banjir kali ini bersifat lebih meluas dan merentas kawasan pedalaman. Ia membawa bersama lumpur tebal, runtuhan tanah, balak dan pokok besar dari kawasan hulu. Lembah sungai, lereng bukit dan perkampungan berhampiran hutan tropika menjadi mangsa utama.

Proses pemulihan dijangka amat kompleks kerana ia melibatkan pembinaan semula ekosistem kehidupan rakyat dari titik sifar, merangkumi perumahan, infrastruktur asas, kesihatan, pendidikan dan keselamatan makanan.

Dalam jangka pendek, risiko kemiskinan besar-besaran dan penularan penyakit pasca banjir amat membimbangkan. Bencana ini tidak boleh dilihat sebagai gejala alam semata-mata. Ia adalah hasil kerakusan manusia.

Secara geografi, Sumatra terletak di Lingkaran Api Pasifik yang sememangnya berisiko tinggi terhadap gempa bumi, letusan gunung berapi, tsunami, banjir dan tanah runtuh. Tanpa campur tangan manusia sekalipun, risiko ini sudah serius. Namun apabila tekanan pembangunan ditambah tanpa kawalan, kesannya menjadi berlipat kali ganda.

Musim tengkujuh kali ini disertai Taufan Senyar yang membawa hujan luar biasa sehingga 385 milimeter. Tidak seperti kebiasaan, taufan ini melanda daratan secara langsung.

Hujan lebat di kawasan hutan yang telah digondol akibat perlombongan, pembalakan dan pembukaan ladang kelapa sawit menyebabkan tanah runtuh dan aliran lumpur besar-besaran. Lebih membimbangkan, aktiviti ini telah berlaku sejak 1970-an tanpa pemulihan hutan yang konsisten.

Liputan hutan di Sumatra Utara dan Sumatra Barat kini hanya sekitar 30 peratus, jauh di bawah paras selamat 40 peratus. Aceh pula walaupun masih mencatat liputan hutan sekitar 51 peratus, gagal mengelak banjir lumpur dan tanah runtuh. Ini menunjukkan kawasan perbukitan telah mengalami kerosakan kritikal yang menghilangkan fungsi semula jadi hutan sebagai penyerap air.

Penggondolan hutan secara rakus berpunca daripada beberapa faktor utama. Pertama, akumulasi permit pembalakan, perlombongan dan ladang kelapa sawit sejak dekad 1970-an.

Menjelang 2025, sebanyak 1,907 permit perlombongan melibatkan lebih 2.5 juta hektar tanah telah dikeluarkan di Sumatra, dengan 546 daripadanya berada dalam zon berisiko tinggi. Di tiga provinsi terjejas sahaja, sebanyak 639 permit direkodkan, termasuk permit bertindih antara perlombongan dan perladangan.

Kedua, banyak aktiviti ekonomi ini dijalankan berhampiran sungai, di lereng bukit dan dalam kawasan perlindungan seperti Suaka Margasatwa. Ketiga, sifat industri ini yang ekstraktif dan eksploitatif bukan sahaja memusnahkan alam, malah meninggalkan kesan sosial dan ekonomi jangka panjang kepada komuniti setempat.

Lebih membimbangkan, kegiatan ini dimungkinkan oleh hubungan simbiotik antara pengusaha swasta dan elit politik. Permit diberikan kepada syarikat besar dan oligarki yang mempunyai pengaruh politik, manakala penguatkuasaan undang-undang diabaikan. Tanpa pengawasan, penanaman semula yang diwajibkan tidak dilaksanakan, dan kawasan sensitif terus diteroka.

Tanggapan bahawa ladang kelapa sawit mampu menggantikan fungsi hutan asli juga tidak berasas. Hutan tropika mempunyai kanopi rendang dan sistem akar yang dalam serta kompleks, berupaya menyimpan air dan menstabilkan tanah. Sebaliknya, akar kelapa sawit yang cetek gagal menahan air hujan, menyebabkan tanah mudah tepu dan runtuh, khususnya di kawasan berbukit.

Tragedi di Aceh membawa pengajaran besar kepada Malaysia. Pertama, penglibatan politik dalam industri berisiko alam sekitar bercanggah dengan peranan sebenar kepimpinan, iaitu melindungi rakyat dan alam melalui undang-undang.

Perlu wujud pemisahan jelas antara pembuat dasar dan pemain industri. Kedua, seperti yang diingatkan oleh pencinta alam Joy Adamson, hutan asli dan hidupan liar tidak boleh dicipta semula apabila musnah. Kehilangannya bersifat kekal.

Kelestarian hanya boleh dicapai apabila hak alam dikembalikan kepada tempatnya. Jika tidak, bencana akan terus berulang dan manusia akan terus menjadi mangsa kepada kerakusannya sendiri.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Profesor Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad
Felo Penyelidik
Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan
Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan,
Universiti Putra Malaysia
e-mel: fatima@upm.edu.my