KUALA LUMPUR, 27 Januari- Upah sektor formal meningkat 5.6 peratus kepada RM2,745 setakat September 2024.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menerusi kenyataan berkata, peningkatan median upah bulanan, mencerminkan landskap pasaran buruh yang lebih baik pada suku ketiga tahun lalu.
Beliau berkata kenaikan itu juga selari prestasi ekonomi negara yang kukuh.
Bagi bulan berkenaan, bilangan pekerja formal warganegara mencecah 6.82 juta orang. Ia meningkat 2.1 peratus, berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Semua sektor ekonomi menunjukkan pertumbuhan positif bagi median upah.
Sektor perlombongan dan pengkuarian terus merekodkan angka tertinggi, meningkat 13.5 peratus kepada RM5,900.
Sementara itu, kesemua negeri menunjukkan pertumbuhan positif tahun ke tahun bagi median upah bulanan.
Tiga negeri melepasi median upah bulanan nasional adalah Kuala Lumpur sebanyak RM3,964, diikuti Selangor RM3,000 dan Pulau Pinang RM2,800.