fb fb fb fb fb

Trafik antarabangsa KLIA naik 10.3%, cecah 3.9 juta penumpang Julai lalu

Foto RTM

SEPANG, 21 Ogos  – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan peningkatan 10.3 peratus bagi trafik penumpang antarabangsa, dengan merekodkan 3.9 juta bilangan penumpang berbanding 3.6 juta pada Jun.

Pertumbuhan tersebut sebahagiannya dipacu inisiatif peluasan rangkaian strategik, termasuk pelancaran perkhidmatan tiga kali seminggu Loong Air yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Xi’an, sekali gus memperkukuh hubungan KLIA dengan pasaran utama di China.

KLIA kini menempatkan beberapa syarikat penerbangan dari China, termasuk China Southern Airlines, China Eastern Airlines, Xiamen Airlines dan Air China, yang masing-masing beroperasi ke bandar utama seperti Guangzhou, Shanghai, Xiamen dan Beijing.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pertumbuhan strategik dalam hubungan udara dengan China merupakan pemacu utama pengembangan ekonomi Malaysia secara menyeluruh dan mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab pilihan di Asia Tenggara.

''Pautan udara terus dengan bandar pesat membangun seperti Xi’an turut memudahkan peluang perdagangan dan pelaburan yang lebih besar.

''Ini meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk penting bagi pergerakan antara China dan Asia Tenggara, sekali gus menggalakkan pertumbuhan mampan dalam sektor penerbangan, pelancongan dan perdagangan, serta mempercepat integrasi serantau.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain KLIA, rangkaian lapangan terbang tempatan Malaysia Airports mengendalikan 8.9 juta pergerakan penumpang pada bulan lalu, terdiri daripada 4.6 juta penumpang antarabangsa dan 4.3 juta penumpang domestik.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) di Türkiye mencatatkan 4.4 juta pergerakan penumpang dalam tempoh sama, termasuk 2.3 juta penumpang antarabangsa dan 2.1 juta penumpang domestik.

Secara keseluruhan, jumlah pergerakan penumpang Kumpulan mencecah 13.3 juta pada Julai, meningkat 5.7 peratus berbanding Jun 2025.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD